Rahmad tolak tawaran kemudi TFC II

in Sukan by


MEKSIPUN masih berbaki kontrak setahun lagi, namun pengendali pasukan berstatus kelab T-Team, Rahmad Darmawan mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada membimbing skuad kendaliannya yang kini diberi nafas baharu dengan gelaran Terenganu FC II (TFC II).


Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Presiden 1 Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail berhubung statusnya selaku ketua jurulatih T-Team selepas penjenamaan semula pasukan dari Terengganu malam tadi.


“Saya sebenarnya sukakan cabaran untuk bersaing dan belum bersedia untuk melatih pasukan TFC II yang sekadar menjadi  pasukan ‘feeder’ bagi skuad utama Terengganu.  Jadi saya mengambil pendekatan secara profesional untuk menolak tawaran tersebut.


“Apa pun saya amat berterima kasih kepada  PBSNT kerana masih memberi kepercayaan untuk membimbing TFCII bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim depan.” katanya ketika ditemui di pejabat pengurusan T-Team di sini.


Dalam pada itu, ketua jurulatih kelahiran Indonesia itu turut mengakui amat sedih untuk meninggalkan negeri ini, pasukan dan penyokong dan berterima kasih kepada mereka yang sentiasa memberi sokong kepadanya sepanjang dua tahun membimbing T-Team.


Mengulas lanjut perancangan kariernya,  Rahmad berkata,  dia ada menerima tiga tawaran daripada pasukan kelab yang beraksi di Liga Indonesia dan akan melakukan perbincangan sebaik tiba di negara itu esok sebelum berangkat menunaikan umrah minggu depan.


Difahamkan selain Rahmad, tiga lagi kejurulatihan T-Team  kelahiran Indonesia turut mengambil keputusan sama antaranya termasuklah, penolong ketua jurulatih, Satia Bagdja Ijatna; jurulatih kecergasan, Rasiman dan jurulatih penjaga gol, Kurnia Sandy.


Semalam, PBSNT menerusi presidennya,  Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang juga Menteri Besar sebulat suara bersetuju melaksanakan penjenamaa baharu skuad bola sepak Terengganu dengan menyaksikan hanya satu pasukan beraksi  dalam Liga Super dan Liga Perdana musim depan selepas menpengerusikan Mesyuarat Kongres Tahunan PBSNT.


Melalui penjenamaan baharu itu, PBSNT kini memiliki lima pasukan yang akan dikendalikan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd melibatkan pasukan Terengganu FC I (TFCI) yang beraksi di Liga Super, TFC II (Liga Perdana), TFC III (Piala Presiden), TFC IV (Piala Belia) dan TFC V (Piala KPM Bawah 17 Tahun).


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]