Rundingan tahunan Malaysia-Brunei bermula esok

in Nasional by


BANDAR SERI BEGAWAN – Projek Lebuhraya Pan Borneo dan kerjasama dalam sektor pertahanan, pelancongan serta minyak dan gas menjadi antara isu utama yang akan diketengahkan dalam Rundingan Tahunan Pemimpin ke-21 Malaysia-Brunei di sini esok.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka tiba di sini lewat petang ini untuk pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam rundingan yang dijadual berlangsung di Istana Nurul Iman.


Turut sama dalam lawatan kerja ini beberapa menteri kabinet, termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.


Turut serta dalam rombongan ialah Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg.


Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei, Datuk Ghulam Jelani Khanizaman berkata hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei ketika ini berada di tahap cukup baik.


Menurutnya jumlah perdagangan antara kedua-dua negara antara Januari dan Julai tahun ini direkodkan bernilai RM2.69 bilion.


Beliau berkata demikian dalam satu persidangan media di pejabat pesuruhjaya tinggi Malaysia di sini petang ini.


Di bidang pelancongan pula, katanya, tahun lepas 1.4 juta pelancong dari Brunei telah melawat Malaysia, yakni jumlah pelancong luar kelima terbesar melawat negara.


Beliau berkata tahun ini pula lebih 1.5 juta pelancong dari Brunei disasar melawat Malaysia, dan beliau yakin ia mampu dicapai memandangkan sehingga Ogos, 1.15 juta pelancong dari Brunei telah melawat negara.


Katanya rundingan Pemimpin Tahunan merupakan satu daripada mekanisme terpenting dalam usaha untuk terus memperkukuhkan hubungan dan jalinan kerjasama antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang dan peringkat demi manfaat bersama. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]