Seaite persiap mahasiswa mahir perusahaan, keusahawanan

in Nasional by


SHAH ALAM – Menyedari kepentingan mahasiswa perlu lebih berdaya saing dan bijak dalam bidang keusahawanan, program-program yang menjurus ke arah itu perlu dipelbanyakkan.


Universiti Coventry, United Kingdom telah melancarkan Institut Keusahawanan Transformasi Asia Tenggara (Seaite) bagi membantu membangunkan ekosistem pendidikan perusahaan dan keusahawanan di Malaysia.  


Naib Presiden bagi Kolaborasi, Inovasi dan Keusahawanan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Profesor Madya Say Sok Kwan berkata, Seaite bertujuan menjadi pasukan penggempur dalam membawa fokus ke arah pendidikan perusahaan dan keusahawanan.


“Ia juga akan membina keupayaan dan kemampuan menerusi program yang berpandukan kajian.


“Program ini adalah inisiatif yang dilihat dapat mempengaruhi komuniti mahasiswa secara positif dan menubuhkan sebuah platform bagi ASEAN untuk menginovasi pendidikan dengan cara yang berfikiran ke hadapan dan produktif bagi ekonomi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Beliau berkata, Malaysia merupakan negara anggota SEAITE selain organisasi daripada United Kingdom, Australia, Indonesia dan Vietnam.


“Ini merupakan perbincangan penting untuk mengetahui bagaimana institusi membangunkan dan menyampaikan kurikulum serta menyokong pendidikan para pelajar secara praktikal dan relevan.


“Dengan penekanan ke atas mengekalkan ekosistem pengetahuan, aplikasi dan perubahan efektif yang mapan, Seaite bermatlamat untuk membawakan impak kepada Malaysia sambil menyokong inisiatif perusahaan dan keusahawanan kerajaan yang sedang berlangsung dan bakal diadakan, dan menghasilkan graduan yang sedia untuk terlibat dalam pembangunan ekonomi,” katanya.


Jelasnya, Seaite pada skala antarabangsa, bermatlamat untuk menggalakkan proses menyusun penyelesaian sosioekonomi dan mempercepatkan perkembangan perusahaan dan keusahawanan di rantau Asia Tenggara.


Universiti Coventry akan membantu membangunkan Seaite dalam memudahkan perkongsian pengetahuan tentang amalan terbaik dan menyediakan sokongan bagi platform dalam talian.


“Universiti ini hanya merupakan platform awal di mana kami memperkenalkan Seaite. Setakat ini, kami telah meraih minat dari universiti-universiti di China, Vietnam, Indonesia dan banyak lagi untuk turut serta dengan konsep dan idea yang dibawakan.


“Untuk terus maju, kami bercadang untuk mengembangkan rangkaian kerjasama kami dan melaksanakan proses dan aktiviti di bawah Seaite yang akan memanfaatkan ekonomi setiap negara yang terlibat,” katanya.


Jelasnya, Universiti Tunku Abdul Rahman teruja tentang apa yang bakal berlaku pada masa yang akan datang dengan keusahawanan transformasi berserta komuniti dan keterhubungan antarabangsa.


Terdahulu, wakil dari Universiti Coventry telah berada di Kuala Lumpur untuk menjalankan bengkel selama dua hari dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi.


Diadakan di Universiti Malaya, ia meliputi perbincangan perkongsian ilmu tentang keperluan memasukkan Pendidikan Perusahaan dan Keusahawanan dalam kurikulum pendidikan tinggi Malaysia.


Hampir 80 warga profesional rekaan kurikulum dan ahli akademik antarabangsa menghadiri dialog tersebut yang turut merangkumi sesi meningkatkan keupayaan ahli akademik khususnya rekaan kurikulum untuk mendorong perusahaan dan keusahawanan dalam (dan menerusi) pendidikan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]