Setuju dua presiden Umno, timbalan tidak dipertanding

in Politik by


PASIR SALAK – Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno dilihat tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan parti berkenaan Disember ini demi menjaga kestabilan parti itu sendiri.


Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, cadangan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein agar kedua-dua jawatan tinggi berkenaan dipertandingkan adalah tepat pada masanya.


“Apa yang dicadangkan Hishammuddin itu ada rasionalnya demi kestabilan parti serta menjaga perpaduan dalam Umno kerana jika ada pertandingan bagi dua jawatan tersebut kemungkinan boleh menyebabkan ia terbelah kepada dua.


“Ia pernah berlaku sebelum ini semasa di bawah pimpinan Tun Mahathir Mohamed di mana Umno bepecah kepada dua dan ia mengambil masa untuk mengembalikan kesatuan dalam parti selepas itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Arena Square dan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Perak, semalam.


Tajuddin juga memaklumkan Umno Perak turut menyatakan sokongan atas pendirian agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan semasa perjumpaan bersama Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, malam kelmarin di kediaman Menteri Besar Perak.


“Semalam (kelmarin) ada perjumpaan di Ipoh bagi Umno Perak dan perkara ini telah disebutkan serta menerima maklum balas daripda semua yang hadir menyatakan sokongan atas apa yang disuarakan oleh Hishammuddin supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan,” katanya.


Tajuddin juga berkata sekiranya pertandingan dua jawatan tertinggi tersebut terus dilaksanakan ia akan memberi peluang kepada pembangkang untuk mengacau Umno terutamanya selepas Pilihan Raya Umum (PRU).


“Pertandingan tak perlu dan jangan berlaku kerana ia tak bawa kebaikkan kepada parti dan kita memerlukan parti yang kukuh bukan sahaja semasa musim PRU malah selepas PRU juga kerana kita tidak mahu dibuli pembangkang.


“Bila Umno bersatu dan tiada sabotaj dengan semua ahli akur pada keputusan pusat pimpinan maka kita akan menjadi kuat sehingga membolehkan parti memenangi dua per tiga kerusi di parlimen,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]