Wartawan ditembak mati oleh anggota polis di India

in Global by


NEW DELHI – INDIA. Seorang wartawan sebuah akhbar harian berbahasa vernakular telah ditembak mati oleh seorang anggota polis di negeri Tripura yang terletak di timur laut India, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan polis pada Rabu.


Sudip Datta Bhaumick telah ditembak di ibu pejabat Tripura State Rifles (TSR), sebuah pasukan polis yang ditubuhkan selaras dengan kumpulan separa tentera di Tripura Barat, kira-kira 20 kilometer dari Agartala, ibu negeri Tripura.


“Semalam (Selasa), seorang wartawan telah ditembak di ibu pejabat batalion kedua TSR,” kata seorang pegawai kanan polis Tripura Barat, Abhijit Saptarshi, sambil menambah susulan insiden itu, seorang anggota TSR berpangkat konstabel telah ditahan.


Bhaumick, 48, merupakan wartawan sebuah akhbar Benggali “Syandan Patrika.”


Polis berkata mereka sedang menyiasat punca kejadian.


“Siasatan bagi mengenal pasti apa yang sebenarnya berlaku antara konstabel terbabit dan mangsa sedang berjalan,” kata Saptarshi.


Media tempatan memetik editor Syandan Patrika, Subal Kumar Dey, sebagai berkata bahawa wartawan tersebut telah ke ibu pejabat TSR selepas mendapat kebenaran rasmi daripada komandan pusat itu.


“Bhaumik, yang merupakan seorang wartawan kanan akhbar kami, telah pergi untuk bertemu komandan batalion kedua TSR pada Selasa selepas berjaya mendapatkan temu janji dengan beliau. Bagaimanapun, ​​​​​​ketika sampai di sana, beliau telah bertengkar dengan seorang pegawai keselamatan peribadi (PSO) komandan itu, yang kemudian menyaksikan PSO tersebut menembak mangsa,” kata Dey seperti yang dipetik oleh Indian Express.


Pembunuhan itu berlaku dua bulan selepas seorang wartawan televisyen tempatan dibelasah sehingga mati oleh seorang penjenayah di daerah tersebut ketika mangsa sedang membuat liputan berkaitan tunjuk perasaan oleh Indigenous Peoples Front of Tripura. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]