50,000 permohonan diterima untuk kemasukan SBP

in Nasional by


PENDANG – Sebanyak 50,000 jumlah permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) diterima pada tahun ini sedangkan hanya 10,000 sahaja kekosongan yang disediakan.


Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata, pihaknya akan menyediakan peperiksaan khas bagi memilih kesemua mereka yang layak.


“Penilaian kemasukan ke tingkatan 1 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pada kali ini mengambil kira kesemua empat komponen Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) bersama keputusan ujian khas berkenaan,” katanya ketika sidang media di Sekolah Kebangsaan Paya Rawa selepas merasmikan program MyNew School, pagi tadi.


Katanya, selain pencapaian akademik menerusi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tiga komponen lain ialah pentaksiran bilik darjah; pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta pentaksiran psikometrik.


“Peperiksaan khas berkenaan akan berlangsung pada pertengahan Desember ini secara atas talian.


“Pihak kementerian akan menyediakan 200 buah pusat peperiksaan seluruh negara bagi memudahkan murid-murid mengakses internet bagi menjawab soalan berkenaan,” katanya.


Menurut Mahadzir, di Kedah terdapat 15 buah pusat disediakan bagi memudahkan mereka menjawab soalan ini.


“Ini adalah sistem peperiksaan pertama kita jalankan bagi kemasukan ke SBP pada tahun ini,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]