
ISKANDAR PUTERI – Adib Azhari Daud dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang pertama berkuatkuasa hari ini.
Beliau yang berusia 56 tahun membaca aku terima jawatan Datuk Bandar serta akuan sumpah menyimpan rahsia dan ikrar menentang rasuah di Dewan Dun Johor, Kota Iskandar, di sini.
Adib kemudiannya menandatangani dan menyerahkan surat cara pelantikan sebelum upacara pemakaian jubah, kalung serta songkok oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Semalam, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) diisytiharkan sebagai MBIP di Bandar Medini Iskandar, di sini.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menyempurnakan majlis perasmian pengisytiharaan tersebut.
MBIP sebelum ini dikenali sebagai sebagai MPJBT yang diisytiharkan pada tahun 2001 selepas dinaiktaraf dari Majlis Daerah Johor Bahru Tengah (MDJBT).
MPJBT merupakan PBT kedua dinaik taraf kepada Majlis Bandaraya di negeĀri ini selepas Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) diisytiharkan pada 1994 sekali gus menjadi bandaraya ke-14 di Malaysia.
Kawasan pentadbiran MBIP meliputi seluruh Iskandar Puteri, Skudai, Gelang Patah, Kangkar Pulai, Tanjung Kupang dan Tanjung Pelepas dengan jumlah penduduk kira-kira 750,000 orang.
Adib Azhari sebelum ini merupakan Yang Dipertua MPJBT dan pernah menjawat jawatan sebagai Pegawai Daerah Mersing, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang, Pentadbir Tanah Pejabat Tanah Johor Bahru, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan) Pejabat Tanah dan Galian negeri serta Pentadbir Tanah Pejabat Tanah Pontian.
Source: SH Edisi Johor
[featured-video-plus]