
AIRASIA X Bhd mencatat kerugian sebelum cukai RM8.63 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2017 berbanding keuntungan sebelum cukai RM12.01 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Pendapatan bagaimanapun meningkat kepada RM1.12 bilion berbanding RM982.4 juta, dipacu pertumbuhan 22 peratus dalam pendapatan penerbangan berjadual dan pertumbuhan 29 peratus dalam pendapatan sampingan.
Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu berkata, pada suku di bawah kajian, jumlah penumpang naik 23 peratus tahun ke tahun, melepasi pertumbuhan kapasiti tempat duduk sekilometer (ASK) sebanyak 18 peratus tahun ke tahun, membolehkan faktor muatan berkembang kepada 79 peratus.
Pendapatan setiap ASK susut tiga peratus tahun ke tahun kepada 12.32 sen daripada 12.70 sen disebabkan pertambahan kapasiti ke atas laluan sedia ada dan tambang promosi kepada laluan baharu, manakala kos bagi setiap ASK naik enam peratus tahun ke tahun, berikutan peruntukan untuk hutang ragu serta penyusutan ringgit berbanding dolar US,” katanya.
Mengenai prospek, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, tempahan untuk suku keempat tahun ini dan suku pertama tahun depan telah melepasi tahun lepas, menunjukkan permintaan untuk terbang kekal kukuh.
“Ini menunjukkan bukti jelas yang pengguna lebih mengutamakan perbelanjaan ke atas penerbangan dan percutian berbanding perkara tidak penting lain.
“Kami yakin boleh mengakhiri 2017 dengan positif dan suku keempat 2017 akan menjadi suku yang baik untuk kami,”” tambahnya. – Bernama
Source: SH Bisnes
[featured-video-plus]