Amal baca al-Quran, hadis dua kali sehari

in Edisi Selangor KL by


SABAK BERNAM – Mengamalkan bacaan al-Quran dan hadis dua kali setiap hari merupakan rahsia kejayaan seorang murid cemerlang dalam UPSR.


Adawiah Mohd Zamri, 12, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit 6, di sini, memperoleh semua A dalam enam subjek UPSR pada Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR), yang diumumkan hari ini.


Adawiah berkata, dia dan keluarganya meluangkan masa bersama untuk membaca al-Quran dan hadis beserta terjemahannya setiap kali selepas solat Subuh dan Maghrib.


“Apa pun saya lebih utamakan mengaji (al-Quran dan hadis) dulu baru ulangkaji pelajaran.


“Kami adik beradik termasuk mak dan ayah duduk sama-sama bertadarus dan bergilir-gilir membaca terjemahan al-Quran dan hadis.


“Inilah yang diamalkan kami sekeluarga dan alhamdulillah ALLAH membantu kejayaan saya dalam UPSR sebab kami sentiasa mengingati-Nya,” katanya.


Selain kejayaannya dalam UPSR, Adawiah merupakan seorang daripada dua murid di negeri ini yang terpilih dalam pertandingan penulisan kreatif peringkat negeri yang diadakan di Kuala Lipis, Pahang.


Malah, anak ketiga daripada empat beradik itu turut terpilih di antara 30 peserta oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke bengkel penulisan kreatif yang bakal diadakan di Bagan Lalang, Disember depan.


Ibunya, Sutinah Cheek Saat, 43, berkata, selain memberi dorongan dan sokongan, dia sentiasa memastikan anak-anaknya membaca al-Quran dan hadis beserta terjemahannya setiap hari.


Sutinah yang juga seorang guru prasekolah di sekolah yang sama berkata, sejak anak-anaknya kecil lagi, dia dan suaminya, Mohd Zamri Ridzuan, 45, menitikberatkan soal pengajaran al-Quran.


“Dalam apa jua yang ingin kita lakukan, al-Quran mesti menjadi keutamaan dan saya selalu mengingatkan anak-anak saya tentang perkara ini,” katanya.


Selain Adawiyah, seorang murid sekolah itu iaitu, Muhammad Muiz Irfan Mansor, 12, turut memperoleh 6A.


Selain memperoleh 6A, Muhammad Muiz memperoleh kejayaan cemerlang apabila pasukannya yang mencipta produk ‘monkey alarm system’ meraih pingat gangsa pada Kuala Lumpur Engineering Science Fair (KLESF), awal November lalu.


PPSR mengandungi empat komponen termasuk keputusan UPSR 2017.


Berbeza daripada tahun sebelum ini yang mana hanya keputusan UPSR yang menjadi tumpuan, PPSR akan turut melibatkan tiga komponen penting lain iaitu pentaksiran bilik darjah, pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta pentaksiran psikometrik.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]