
KUALA TERENGGANU – “Di rumah, mak akan ajar, bila dah habis belajar, dia akan suruh buat latihan sebagai persediaan untuk peperiksaan, kata murid cemerlang 6A Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dari Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, di sini.
Anak sulung dari tiga beradik, Adam Taufyq Nurhasim, 12, berkata, selain bantuan ibunya, Hidayah Mohd Nasir, 29, dia juga mendapat sokongan bapa, Nurhasim Abdullah,40, dan guru yang mendorong dia mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.
“Saya juga amal prinsip senyap, fokus dan berani bertanya di dalam kelas sekiranya ada mata pelajaran yang saya tak faham,” katanya ketika ditemui di SKSS1 di sini, sempena hari pengumuman keputusan UPSR, semalam.
Adam Taufyq berkata, kejayaan dikecapinya itu adalah hadiah untuk semua terutama bapanya yang bekerja keras untuk membesarkan dia tiga beradik.
“Mak tak bekerja. Suri rumah. Bapa pula kerja hantar tempe ke kedai, pasar, pasar borong dan pasar raya.
“Selain tempe dia juga hantar tauhu, cincau. Dia memang agak sibuk kadang-kadang sampai ke Kelantan, Setiu dia hantar barang. Awal pagi sudah keluar bekerja sekitar jam 4 hingga 6 pagi.
“Sebab itulah kadang-kadang saya sampai lewat ke sekolah dalam jam 7.40 pagi hingga 8 pagi. Mungkin sebab ayah letih lepas keluar kerja awal dan terpaksa hantar saya ke sekolah pula,” katanya.
Adam Taufyq berkata, dia memperoleh keputusan 5A 1B dalam peperiksaan percubaan UPSR sebelum ini, di mana B bagi Bahasa Inggeris Penulisan.
Katanya, dia sebenarnya tidak yakin dapat A dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris Penulisan kerana kekurangan idea untuk menghasilkan karangan yang menarik.
“Tak sangka pula dalam UPSR ini saya berjaya dapat semua A. Insya-ALLAH, saya akan berusaha lebih kuat lagi selepas ini untuk capai cita-cita dan bantu keluarga.
“Kejayaan ini adalah berkat doa dari semua pihak, usaha dan kesungguhan,” katanya yang menyimpan cita-cita untuk menjadi saintis dan menyambung pelajaran di Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu.
Source: SH Edisi
[featured-video-plus]