Bangunan lama lebih 10 tahun perlu dirobohkan?

in Edisi Selangor KL by


KUALA LUMPUR – Lebih 10,000 bangunan melebihi lima tingkat yang berusia lebih 10 tahun di ibu kota berpotensi dikosongkan atau dirobohkan sekiranya didapati tidak selamat untuk digunakan.


Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sr. Alias Marjoh, berkata, berdasarkan garis panduan baharu yang dikeluarkan, pihak pengurusan bangunan perlu mengeluarkan laporan berkala yang mengesahkan bangunan masih kukuh.


Menurutnya, ia merangkumi bangunan kediaman mahupun pejabat asalkan mempunyai lima tingkat ke atas termasuk bawah tanah.


“Pemeriksaan perlu dibuat oleh jurutera yang bertauliah memastikan laporan dapat dikemukakan. Sekiranya pihak pengurusan bangunan tidak dapat melantik jurutera bertauliah disebabkan kekangan kos dan sebagainya, DBKL akan melaksanakannya seterusnya membuat tuntutan semula.


“Jika hasil pemeriksaan mendapati bangunan itu tidak selamat, DBKL akan mengarahkan untuk kerja-kerja pembaikian bahkan mungkin perlu dikosongkan atau dirobohkan jika perlu,”katanya ditemui selepas Majlis Pelancaran Garis Panduan dan Kertas Dasar Jabatan Kawalan Bangunan DBKL, di sini semalam.


Dalam pada itu, beliau berkata, DBKL sudah mengeluarkan surat serta notis kepada hampir 2,000 pemilik bangunan untuk melaksanakan pemeriksaan profesional.


“Sehingga kini terdapat lebih 500 sijil pemeriksaan sudah dikeluarkan oleh DBKL. Notis yang dikeluarkan kerana pemilik bangunan tidak melakukan pemeriksaan secara berkala,”katanya.


Terdahulu, majlis disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz.


Sebanyak tiga garis panduan dilancarkan iaitu, Garis Panduan Pemeriksaan Bangunan Secara Berkala; Garis Panduan Pelan Bangunan Cadangan Pengubahsuaian Dalaman serta Membina Sekatan Dalaman dan Syarat Permohonan Kelulusan Sijil Tanah Untuk Patuhi (dalam proses pengeluaran kebenaran mendiriakan bangunan).


Kesemua garis panduan baharu itu akan berkuatkuasa bermula 1 Januari 2018.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]