Banjir: Bomba hantar pelajar ke sekolah

in Uncategorized by


GERIK – Selepas beberapa hari banjir di Hulu Perak reda, awal pagi semalam penduduk Kampung Pahit Tengah di sini, pula dilanda banjir akibat air sungai melimpah.


Mujur tidak banyak rumah terjejas, namun sebuah rumah didiami dua lelaki dinaiki air dan menurut maklumat diterima banjir surut sepenuhnya jam 10.30 pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa memaklumkan, pusat pemindahan sementara juga ditutup pagi semalam.


“Terdapat dua mangsa terlibat dalam kejadian ini dan mereka dibawa ke Dewan Orang Ramai Kampung Pahit. Tinjauan anggota pagi tadi (semalam) mendapati air sudah surut.


“Pusat pemindahan sementara ditutup dan mangsa dibenarkan pulang semula ke rumah mereka,” katanya semalam.


Dalam pada itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik membantu membawa beberapa pelajar dari kampung tersebut untuk ke sekolah berhampiran menggunakan bot dan lori.


Ketua Operasinya, Mohd Nizam Zakaria berkata, jalan utama menghubungkan kampung tersebut dinaiki air dan menyebabkan pelajar terkandas.


“Anggota menerima panggilan kes banjir jam 1.09 pagi semalam dan kira-kira jam 7 pagi, anggota menggunakan bot dan lori untuk mengangkut pelajar dan menghantar mereka ke sekolah.


“Banjir sudah semakin surut. Awal pagi tadi (semalam), limpahan sungai menyebabkan sebuah rumah di kampung ini dinaiki air sedalam satu kaki.


“Terdapat dua mangsa, lelaki berusia 70-an dan 30-an dipindahkan orang awam ke dewan,” katanya.


Tambahnya, anggota membuat pemantauan di kawasan sekitar dan mendapati tiada lagi mangsa terperangkap lalu menamatkan operasi pada jam 2.25 pagi.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]