'Bantu kesan penipuan bidaan'

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menggesa agensi kerajaan untuk membantu suruhanjaya itu mengenal pasti penipuan bidaan dalam proses pemerolehan awam kerana kesalahan tersebut melanggar Akta Persaingan 2010.


Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abu Samah Shabudin berkata, MyCC telah menerima banyak aduan yang melibatkan isu penipuan bidaan.


“Ketika ini, terdapat beberapa kes aktif sedang dinilai dan disiasat dan kami berharap dapat membuat keputusan mengenai kes-kes ini tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas perasmian forum mengenai  ‘Penipuan Bidaan dan Penyalahgunaan Kedudukan dalam Pemerolehan Awam di bawah Akta Persaingan 2010’ oleh ahli MyCC,  Datin Seri Ruzaina Wan Haniff di Putrajaya, hari ini.


Penipuan bidaan adalah pelanggaran di bawah Seksyen 4(2)(d) Akta Persaingan 2010 yang dikuatkuasakan oleh MyCC dan sekiranya didapati bersalah melanggar Akta tersebut, perusahaan boleh dikenakan penalti sehingga maksimum 10 peratus daripada perolehan seluruh dunianya. 


Abu Samah berkata, pemerolehan awam penting bukan sahaja dalam memenuhi keperluan fungsian seharian tetapi juga dalam memenuhi objektif sosioekonomi dan mengalakkan pertumbuhan ekonomi.


Akta Persaingan 2010 adalah bertujuan untuk menggalakkan persaingan adil dalam kalangan perusahaan agar pengguna dapat meraih manfaat menerusi pelbagai rangkaian meluas barangan dan perkhidmatan berkualiti pada harga yang kompetitif. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]