
SEPANG – Penduduk Taman Pantai Sepang Putra disaran terus menjadi mata dan telinga pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner, Abdul Aziz Ali berkata, kejayaan menyelesaikan kes samun di kawasan Taman Pantai Sepang Putra baru-baru ini membuktikan kerjasama baik masyarakat dalam mengekang jenayah.
“Empat suspek telah ditangkap dalam tempoh kurang 24 jam selepas mereka menyamun di kawasan berkenaan.
“Kejayaan ini adalah berkat kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat sekaligus menjadi ejen penyampai maklumat keselamatan,” katanya kepada pemberita ketika berucap pada Program Pencegahan Jenayah di Taman Pantai Sepang Putra.
Menurutnya, pihaknya akan memberi sepenuh kerjasama termasuk khidmat nasihat selain mengadakan perjumpaan secara berkala kepada masyarakat.
“Kami juga akan meningkatkan rondaan keselamatan pada waktu-waktu tertentu mengikut pola kejadian jenayah yang berlaku.
“Statistik indeks jenayah di kawasan pentadbiran Balai Polis Sungai Pelek menunjukkan penurunan sebanyak 28 kes atau 63 peratus yang mana sebanyak 52 kes bagi tahun 2017 berbanding 80 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2016. Secara keseluruhan kadar jenayah indeks di kawasan pentadbiran balai polis Sungai Pelek masih dalam keadaan terkawal,” katanya.
Tambahnya lagi, sebagai salah sebuah daerah yang sedang pesat membangun, sememangnya tidak boleh lari daripada peningkatan kadar jenayah.
“Bagi saya banyak faktor yang boleh menyumbang kepada perlakuan jenayah termasuk kecuaian pemilik harta benda.
“Dalam konteks ini, masyarakat boleh bantu beri kesedaran kepada jiran mengenai langkah pencegahan jenayah yang perlu diambil bagi mengelakkan kes pecah rumah dan curi kenderaan daripada berlaku,” katanya.
Source: SH Edisi Sel KL
[featured-video-plus]