
ISKANDAR PUTERI – Bantuan khas kewangan berjumlah setengah bulan gaji dengan kadar minimum RM1,500 akan diberikan kepada kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia sebagai menghargai segala sumbangan dan kerja keras penjawat awam negeri ini.
“Bagi yang mempunyai gaji di bawah RM3,000 sebulan, mereka akan mendapat lebih daripada setengah bulan gaji,” katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2018 di Dewan Dun Johor, Kota Iskandar di sini hari ini.
Beliau berkata, bantuan khas kewangan itu juga akan dipanjangkan kepada semua EXCO kerajaan negeri, Adun Johor, Ahli Jumaah DiRaja Johor, ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor, pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan guru Tadika Agama Islam Johor (TAJ).
Selain itu, Mohamed Khaled turut mengumumkan bayaran khas kewangan berjumlah RM500 kepada penggerak masjid dan program Sakinah di Johor; bantuan khas persaraan RM1,000 kepada penjawat awam Johor yang bersara bermula tahun 2018 serta kenaikan kadar pencen pesara Adun kepada 60 peratus daripada gaji berdasarkan tempoh perkhidmatan.
“Semua bantuan-bantuan khas kewangan yang saya umumkan ini akan diberikan pada bulan Januari 2018.
“Kita harap segala pemberian bantuan dan insentif khas kewangan ini akan menjadi lambang terima kasih dan penghargaan tulus kerajaan negeri kepada semua yang berkhidmat dengan kerajaan negeri,” katanya.
Source: SH Edisi Johor
[featured-video-plus]