Bayi maut jatuh dari katil

in Edisi by


BANDAR SERI JEMPOL – Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan maut selepas dipercayai terjatuh dari katil ketika tidur di kediamannya dekat Kampung Baru Rompin, malam kelmarin.


Ketua Polis Daerah Jempol, Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, bayi berkenaan Muhammad Fawwaz Hawwari Nasir kelihatan pucat dan lemah keesokan paginya, lalu dibawa keluarganya ke Klinik Kesihatan Bahau.


“Bagaimanapun bayi ini disahkan telah meninggal dunia pagi ini (semalam) oleh pegawai perubatan sebelum dihantar ke Hospital Jempol kira kira jam 10 pagi.


“Seterusnya mayat bayi ini di hantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban, untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya di sini, semalam.


Difahamkan bayi berkenaan dijaga oleh ibu saudaranya, berikutan kedua ibu dan bapanya bekerja di luar daerah.


Sementara itu, bapa bayi berkenaan, Nasir Nain, 39, ketika ditemui di Hospital Jempol berkata, dia dan isteri reda akan kejadian yang menimpa anak bongsunya itu.


“Saya reda kerana ALLAH yang menentukan segalanya. Tiada apa yang perlu dipersalahkan kerana keluarga termasuk adik ipar yang menjaga anak saya, dah buat yang sebaik mungkin.

Ibu bayi berkenaan (dua, kiri) kelihatan begitu sebak.


“ Fawwas begitu disayangi semua ahli keluarga. Lagipun adik ipar (ibu saudara) begitu teruja ingin membawa arwah berjalan-jalan ke Alor Setar , Kedah hujung bulan ini.


“Namun hajatnya tidak kesampaian malahan keterujaannya membawa arwah ke sana tidak dapat disembunyikan kerana segala keperluan Fawwas telah dibeli olehnya,” katanya.


Manakala keadaan di Hospital Jempol sayu seketika apabila kelihatan seorang wanita dipercayai ibu saudara arwah beberapa kali rebah akibat terlalu sebak.


Ibu bayi ini juga kerap kali ditenangkan keluarga dan kenalan terdekat susulan bersedih atas kejadian berkenaan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]