Bekas peguam didakwa pecah amanah RM700,000

in Semasa by


PETALING JAYA – Seorang bekas peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM700,000, dua tahun lalu.


Azlan Abdullah, 42, sebagai peguam di Tetuan Azlan & Partners,  yang merupakan ejen dalam kapasiti tersebut diamanahkan wang pertaruhan hasil penjualan sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Sunway, di sini, didakwa melakukan pecah amanah berhubung harta itu yang bernilai RM700,000.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tetuan Azlan & Partners, di Jalan USJ 10/1J, UEP Subang Jaya, di sini pada 6 Feb 2015 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim menawarkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Zamri Idrus memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak berpendapatan tetap kerana telah diisytihar muflis.


“Anak guam saya juga bersedia untuk dikenakan syarat tambahan sekiranya jaminan yang rendah dibenarkan,” kata peguam itu.


Hakim Hilmiah Yusof membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua orang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan ke mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali dan 12 Dis ditetapkan untuk sebutan semula kes. – Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]