Bekas serba guna kedap udara

in Bisnes by


BISKUT raya yang dijual di pasaran kebanyakannya menggunakan balang atau bekas lut sinar, yang dikemaskan dengan tambahan pita pelekat di luar penutupnya supaya tidak dimasuki angin, bagi mengelakkan isi di dalamnya lemau.


Melihat masalah itu, LCM Utara (M) Sdn Bhd (LCM Utara) berpangkalan di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, yang diterajui Pengarah Urusannya, Suzaini Ahmad bersama suaminya yang juga Pengurus Pengeluaran, Mohamad Zuki Jusoh menghasilkan bekas serba guna kedap udara pada 2014, menerusi jenama LCM.


“Bekas serba guna LCM bersifat kedap udara. Tidak perlu lagi letak tambahan pita pelekat di luar penutup bekas seperti sebelum ini,” katanya.


Suzaini berkata, LCM Utara mengambil masa setahun menjalankan pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi menghasilkan bekas serba guna yang berkualiti.


“Bukan mudah menghasilkan bekas betul-betul kedap udara. Selepas acuan dan bekas siap, kami perlu menguji bekas ini dengan memasukkan air dan meletakkan biskut di dalamnya bagi memastikan ia kedap udara. Malah, semut juga sukar menembusi bekas ini berdasarkan hasil ujian dijalankan,” katanya.


Bermula dengan bekas lut sinar, katanya, ia kini boleh didapati dalam tiga model berlainan saiz, dengan pelbagai pilihan warna dan corak.


“Pengguna tidak perlu lagi memindahkan biskut raya ke dalam bekas lain, selepas membelinya di pasaran. Ini kerana, selain kedap udara, bekas serba guna ini sudah sedia cantik untuk dihidangkan kepada tetamu,” katanya.


Makanan tahan lama


Menariknya, bekas serba guna jenama LCM itu dihasilkan menggunakan bahan-bahan dari gred makanan yang selamat untuk menyimpan makanan dan bebas bahan kimia.


Suzaini berkata, syarikat itu menggunakan General Purpose Polystyrene (GPPS) berkualiti sebagai bahan utama membuat bekas, manakala penutupnya diperbuat daripada Polypropylene (PP).


“Bekas serba guna ini menjadikan makanan tahan lebih lama dan tidak berkulat kerana menggunakan bahan dari gred makanan. Walaupun kita selalu buka dan tutup bekas ini ketika ambil biskut, kerangupannya masih boleh bertahan sehingga ia habis.


“Ia juga boleh digunakan untuk memanaskan makanan di dalam ketuhar gelombang mikro, dengan membuka penutupnya,” katanya.

Suzaini bersama suaminya, Mohamad Zuki menunjukkan bekas serba guna jenama LCM.


Selain itu, beliau berkata, bekas itu juga boleh digunakan untuk menyimpan makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran di dalam peti sejuk.


“Sayur dan buah-buahan akan tahan lebih lama dan tidak layu. Kami pernah menguji bekas ini dengan meletakkan epal yang siap dipotong dan menyimpannya di dalam peti sejuk. Walaupun sudah seminggu berlalu, epal itu masih berkeadaan baik, tidak lebam dan tidak kering.


“Begitu juga dengan sayur, kami pernah memasukkan tauge yang telah dicuci ke dalam bekas ini dan disimpan di dalam peti sejuk. Namun tauge itu masih elok walaupun sudah seminggu disimpan,” katanya.


Pada masa akan datang, katanya, LCM Utara bercadang untuk menggantikan GPPS dan PP dalam penghasilan bekas itu, dengan bahan lain yang berasaskan makanan, bersama penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM).


“Ini bagi mengurangkan kos bahan mentah utama yang pada masa ini diimport dari luar negara seperti Taiwan dan Singapura.


“Dengan menggunakan kepakaran dan bahan yang ada di negara kita, bekas ini masih boleh dihasilkan dengan harga berpatutan, sekali gus membantu pelanggan memiliki bekas ini pada harga berpatutan, tanpa mengabaikan kualiti dan bahan dari gred makanan yang digunakan sebelum ini,” katanya.


Bakal buka pusat jualan


Sejak dipasarkan tiga tahun lalu, bekas serba guna LCM dijual kepada pengilang dan pengusaha biskut raya terkemuka di seluruh negara, yang membeli secara pukal.


Suzaini berkata, sepanjang tempoh itu, berjuta-juta unit bekas itu terjual, dengan kapasiti pengeluaran 200 bekas satu jam di kilangnya.

Mohamad Zuki memeriksa kualiti bekas serba guna yang dihasilkan, sebelum menjualnya di pasaran.


Bagi membolehkan orang ramai memiliki bekas serba guna itu, katanya, LCM Utara bakal membuka pusat jualan di Kepala Batas, Pulau Pinang, Januari tahun depan.


“Kami sedar permintaan tinggi bekas serba guna ini di pasaran. Bila kami mengikuti pameran-pameran yang dianjurkan agensi-agensi kerajaan, ramai bertanyakan bekas ini. Sebab itu, kami buka pusat jualan untuk pembelian runcit,” katanya yang menjual pada harga RM1.40 hingga RM1.50 sebekas.


Pada tahun depan, Suzaini berkata, syarikat itu akan mengeluarkan bekas serba guna LCM bercorak English Cottage dan bekas berbentuk segi empat.


Maklumat lanjut tentang bekas serba guna jenama LCM, boleh hubungi Suzaini di talian 012-4500915.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]