Berkat doa tok ki, nenek: Tokoh pelajar

in Edisi by


KUALA TERENGGANU – Sekalipun tidak tinggal bersama kedua ibu bapanya sejak enam bulan lalu selepas ibunya berpindah ke Putrajaya, ia bukan halangan buat Tokoh Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 untuk merangkul 6A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).


Muhammad Haziq Lutfi Rosli, 12, tinggal bersama datuknya, Tuan Chik Tuan Endut, 72, dan neneknya, Tuan Esah Tuan Chik, 70, di Kampung Kubang Parit, di sini sejak 16 Jun lalu selepas ibunya, Sharifah Noor Aliza, 46, yang juga seorang guru, bertukar sekolah.


Tuan Chik berkata, dia dan isteri sebenarnya menetap di Felda Neram 1, Kemaman dan mereka tinggal di rumah di Kubang Parit, di sini, semata-mata untuk menjaga Haziq yang akan menduduki UPSR tahun ini.


Katanya, menjaga Muhammad Hazif Lutfi tidak sukar kerana dia seorang anak yang mendengar kata dan patuh apabila disuruh.


“Saya akan sentiasa pastikan dia ke sekolah awal, walaupun dia aktif dalam kegiatan sukan, dia akan tetap ke sekolah dan tidak ponteng kelas. Solat dan hubungan baik bersama keluarga, ibu bapa, guru dan rakan juga perlu dijaga.


“Kalau dia bermain pun, dia akan main di sekitar rumah sahaja, tidak akan keluar jauh dari rumah,” katanya yang mesra digelar sebagai ‘tokki’ oleh Muhammad Haziq ketika ditemui di Kubang Parit, di sini, hari ini.


Sementara itu, Muhammad Haziq yang merupakan anak bongsu dari tiga adik-beradik berkata, walaupun aktif dalam kegiatan sukan dan sering mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan, dia tidak pernah ponteng kelas tambahan.


“Kelas tambahan amat penting kerana melalui kelas itu dia akan dapat banyak pengetahuan selain apa yang dipelajari di dalam kelas.


“Selain itu, mengenai cara belajar, saya lebih suka menelaah mata pelajaran pada awal pagi bermula jam 7 hinggan 10 atau 11 pagi,” katanya.


Muhammad Haziq berkata, dia menjadikan ibu dan bapanya, Rosli Awang, 50, yang bekerja sebagai jurutera, kakak, Nur Liyana Syairah, 19, yang menuntut dalam bidang perubatan di Kursk State Medical University, Rusia dan abang, Muhammad Haris Luqman, 16, yang belajar di Sek Men Alam Shah, Putrajaya sebagai idola.


“Kejayaan mereka menjadi sumber inspirasi buat saya untuk berusaha lebih gigih dan mencapai keputusan yang cemerlang dalam pelajaran,” katanya yang bercita-cita ingin menjadi Pakar Pediatrik.


Ditanya perancangan menyambung pelajaran, katanya, dia kini masih di peringkat perbincangan sama ada ingin menerima tawaran memasuki Kolej Permata Insan di Nilai, Negeri Sembilan atau menyambung persekolahan di Putrajaya.


“Sebelum ini saya ada menghadiri temu duga dan telah berjaya di senarai pendek untuk memasuki kolej itu, kini saya masih lagi di peringkat perbincangan bersama ibu bapa,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]