Buat laporan palsu, wanita didenda RM2,000

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Seorang tukang cuci warga Indonesia didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini kerana membuat laporan polis palsu kononnya anak perempuannya yang berusia dua tahun diculik.


Majistret Iriane Isabelo menjatuhi hukuman itu ke atas Kurisiya, 36, selepas wanita itu mengaku memberi maklumat palsu secara bertulis di Balai Polis Selayang, Gombak, pada  6.20 petang, 7 November lalu.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan jika dia gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.


Ibu seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.


Terdahulu, Kurisiya yang diwakili peguam Mohd Firdaus Mohd Razi merayu hukuman berbentuk denda dengan alasan itu adalah kesalahan pertama tertuduh yang sudah tiga tahun menetap di Malaysia.


“Sudah 16 hari anak guam saya ditahan reman dan ia telah memberi pengajaran yang secukup kepadanya. Kes ini berlaku sebab perselisihan faham dengan keluarganya sehingga tertuduh membuat laporan palsu,” katanya.


Timbalan  Pendakwa Raya T.Ashvinii memohon tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pemenjaraan atau denda maksimum kerana perbuatan tertuduh membazirkan masa dan kos pegawai penyiasat dalam kes ini.


“Mahkamah perlu memandang serius kes ini kerana  ramai lagi akan membuat laporan polis palsu jika mereka berdepan dengan konflik keluarga,” katanya.


Berdasarkan fakta kes, Kurisiya didakwa membuat laporan polis bahawa anaknya bernama Nora hilang dan dilarikan oleh seseorang ketika membawanya ke kedai runcit di Desa Jaya, Kepong.


Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati laporan polis itu bercanggah kerana anaknya sudah diserahkan kepada bekas suaminya yang berada di Batam, Indonesia. – Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]