Dua kanak-kanak jadi mangsa serakah jiran

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Dua kanak-kanak perempuan menjadi mangsa nafsu serakah jirannya selepas dirogol dalam dua kejadian berasingan di sebuah taman perumahan di Batu 11 Jalan Gambang di sini pada 6 November lalu.


Umpan coklat dan duit RM2 menjadi modus operandi suspek berusia 25 tahun itu yang bekerja sebagai kelindan lori untuk memerangkap dua mangsa terbabit bersiar-siar menaiki motosikal miliknya.


Dalam kejadian pertama, kanak-kanak berusia lapan tahun dirogol di sebuah tangki air di taman terbabit.


Hanya beberapa jam kemudian, suspek yang  masih belum puas melampiaskan nafsunya merogol kanak-kanak berusia lima tahun di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran taman tersebut.


Kedua-dua mangsa kemudian mengadu pada ibu mereka dan aduan dilakukan oleh kedua bapa mereka di Balai Polis Jaya Gading pada hari sama.


Ketua Polis Daerah Kuantan,  Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata suspek y tersebut dikatakan membawa mangsa keluar bersiar-siar menaiki motosikal sebelum bertindak merogol kanak-kanak tersebut.


Menurutnya,suspek berjaya diberkas pada 8 November lalu kira-kira jam 10.30 malam selepas pulang dari kerja.


“Suspek yang tinggal bersama keluarganya tidak memiliki sebarang rekod jenayah sebelum ini dan hasil saringan ujian air kencingnya negatif.


“Setakat ini suspek sedang direman sehingga 28 November ini sebelum dihadapkan ke mahkamah, “katanya di sini hari ini.  


Beliau berkata sedemikian kepada pemberita dalam sidang media di Dewan Anggerik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Kuantan bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Deputi Superintenden Zaizul Zakaria.


Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]