
KUALA LUMPUR – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menahan seramai 1,156 orang pesalah atas pelbagai kesalahan sejak Januari hingga September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kesemua mereka itu membabitkan warga tempatan dan pendatang asing tanpa izin (Pati).
Menurutnya, pengistiharan kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) adalah bagi menangani jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan penculikan selain prihatin terhadap lambakan warga asing di Sabah.
“Esscom sentiasa bekerjasama dengan agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Jabatan Imigresen Sabah, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Kastam Sabah.
“Kerjasama ini melaksanakan pelbagai operasi dan pemantauan berterusan di Pantai Timur Sabah yang menggunakan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, mengulas sama ada terdapat sebarang perancangan oleh kerajaan untuk meluaskan kawasan kawalan Esscom, Shahidan berkata, perkara itu masih belum dalam perancangan.
Bagaimanapun, kerajaan sememangnya mengambil pendekatan dengan menjalin kerjasama bersama penduduk tempatan.
“Contohnya Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang melibatkan penduduk tempatan diikuti Agensi Pertahanan Awam Malaysia yang juga terdiri daripada warga tempatan. Tindakan yang berterusan akan dilaksanakan, kehadiran warga tempatan akan membantu mengurangkan kes jenayah di kawasan Esszone,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran).
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]