FGV rancang beli tanah perladangan baharu

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) merancang membeli tanah perladangan baharu di Kalimantan, Indonesia, menggunakan hasil daripada penjualan sahamnya dalam Axa Affin General Insurance Bhd.


Walaupun enggan mendedahkan hasil yang dikumpul daripada penjualan itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad berkata rancangan itu dijangka diluluskan sepenuhnya oleh pihak berkuasa relevan pada akhir tahun ini.


“Kami telah mula mencari tanah galian baik. Kami memikirkan membeli tanah dan melakukan sendiri perladangan kerana kami mempunyai kepakaran,” katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan keputusan kewangan suku ketiga  2017 FGV’ di sini, hari ini.


FGV, menerusi unitnya, Felda Marketing Services Sdn Bhd, memegang 16 peratus pegangan dalam Axa Affin.


Mengulas mengenai perladangan sawit lestari, beliau berkata, FGV menyokong kedua-dua Persidangan Meja Bulat bagi Minyak Sawit Lestari  (RSPO) dan pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO)  yang disasar mengesahkan semua kompleks menerusi RSPO pada 2020 dan MSPO pada 2019.


Mengenai harga minyak sawit mentah (MSM), Zakaria menjangka harga berada dalam aliran rendah antara paras RM2,500 dan RM2,700 setan metrik dalam separuh pertama tahun depan berbanding RM2,600 hingga RM2,800 setan metrik yang direkodkan dalam suku keempat tahun ini.


“Kami mengunjurkan harga MSM rendah berikutan persaingan sengit daripada minyak kacang soya serta, pemulihan pengeluaran di ladang kelapa sawit,” katanya.


FGV menyasarkan pengeluaran tandan buah segar (FFB) tinggi tahun depan sebanyak 4.85 juta tan metrik daripada 4.3 juta tan metrik yang dijangkakan tahun ini.


Bagi suku ketiga yang berakhir 30 September 2017, keuntungan sebelum zakat dan cukai FGV meningkat kepada RM111.11 juta daripada RM1.9 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.


Bagaimanapun, keuntungan sebelum zakat dan cukai bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini meningkat tiga kali ganda kepada RM170 juta daripada RM44 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas atas sokongan kenaikan lima peratus hasil sebanyak  RM12.7 billion daripada RM12.09 bilion dalam tempoh yang sama pada 2016.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]