
AMPANG – Penduduk perumahan di sini menggesa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memantau kontraktor pemasangan alat pemancar di tiang telekomunikasi berhampiran rumah mereka agar ia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan yang telah ditetapkan.
Timbalan Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan, Ben Liew Pok Boon berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk setelah mendapati kontraktor melaksanakan kerja pemasangan alat pemancar telekomunikasi, kelmarin.
“Perkara tersebut juga dipercayai telah dimaklumkan kepada Adun Teratai, Tiew Way Keng untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ben Liew turut memuji tindakan pantas Ahli Majlis MPAJ, Mohamad Samat segera turun padang dan mempersoalkan tindakan kontraktor tersebut, apakah perlaksanaan kerja kontraktor itu telah mendapat kebenaran daripada MPAJ.
“Penduduk memaklumkan mereka tiada apa-apa halangan, jika pemasangan alat pemancar itu telah mendapat kelulusan MPAJ.
“Kontraktor harus mematuhi polisi dan SOP garis panduan,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya dimaklumkan ada lapan penghidap kanser, tiga daripadanya sudah meninggal dunia dalam tempoh empat tahun ini.
“Kita tiada bukti apa penyebab kanser penduduk di sini, namun penduduk juga berharap pihak berkaitan dapat melaksanakan ujian pengesanan radiasi di sini,” katanya.
Sementara itu Mohamad memaklumkan beliau telah turun ke lokasi dan memohon kontraktor tersebut membuka alat pemancar yang mahu dipasang.
“Saya akan menyiasat aduan penduduk, jika perlu saya akan buat sidang media dalam masa terdekat bagi memberikan butiran terperinci isu ini” katanya.
Source: SH Edisi Sel KL
[featured-video-plus]