
SEBERANG JAYA – Harga ikan naik antara RM5 hingga RM10 sekilogram! Kenaikan berbeza mengikut jenis ikan dan kualitinya.
Peniaga, Joseph Mathew berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain selain menaikkan harga ikan mengikut harga pasaran sekarang walaupun mengetahui harga jualan pada masa kini agak membebankan pengguna.
Menurutnya, trend kenaikan harga ikan berlaku sejak awal tahun lagi, namun selepas berlaku bencana baru-baru ini harga ikan terus melonjak naik.
“Ikan kembung yang paling tak stabil (harga) kadang-kadang dijual sehingga RM20 sekilogram.
“Kita memang kalau boleh tak nak letak harga terlalu tinggi, tetapi sebagai peniaga sudah semestinya kita tidak mahu rugi, namun kami masih ada lagi perasaan timbang rasa kalau ada pelanggan yang minta diskaun,” katanya, semalam.
Dalam tinjauan yang dilakukan semalam mendapati, ikan temenung naik kepada RM18 sekilogram berbanding RM10 sebelum ini, ikan kerisi RM16 sekilogram berbanding RM12 sebelum ini, ikan senangin RM30 berbanding RM25 sekilogram dan ikan bawal yang dijual dengan harga RM40 sekilogram.
Bekalan kurang jadi punca
Seorang lagi peniaga, Rozaiman Sarip berkata, bekalan ikan yang semakin berkurangan juga menjadi punca harga jualan mereka naik, selain faktor kos semakin tinggi akibat kenaikan harga minyak.
Katanya, nelayan menghadapi kesukaran untuk turun ke laut selepas berlakunya ribut, ombak kuat dan laut bergelora sejak kebelakangan ini menyebabkan bekalan ikan berkurangan.
“Bila bekalan tak banyak, ia sekali gus menyebabkan harga naik dan memaksa kami juga menaikkan harga jualan.
“Walaupun ada pelanggan merungut harga tinggi tetapi mereka masih membeli. Bagaimanapun kami tetap merasakan jualan semakin merosot kebelakangan ini,” katanya.
Selain hasil laut, sayur-sayuran juga tidak terkecuali daripada berlaku kenaikan harga selepas dikatakan banyak kebun terjejas akibat kejadian banjir sebelum ini.
Peniaga sayur, Mohd Salim Md Nasir berkata, daun sup, daun bawang, kacang bendi dan cili merah antara yang naik mendadak kebelakangan ini.
“Memang tak dinafikan, kami menjual dengan harga yang tinggi disebabkan bekalan yang diterima juga tidak banyak kerana banyak tanaman petani musnah disebabkan banjir baru-baru ini.
“Walaupun begitu, pelanggan masih boleh membeli sayur-sayuran dengan kuantiti yang kecil dan mengikut kemampuan mereka,” katanya.
Pengguna terbeban
Sementara itu, beberapa pengguna yang ditemui mengakui rasa terbeban dengan harga jualan di pasar basah pada masa kini yang boleh dikatakan terlalu banyak perbezaan berbanding tahun lalu.
Fazayu Mohd Fisah, 39, berkata, jika dahulu dia membawa RM50 setiap kali ke pasar dan boleh membeli bermacam-macam barang, namun situasi itu sudah tidak sama lagi pada masa kini.
“Harga ikan dan sayur naik terlalu tinggi menyebabkan saya terpaksa mengawal perbelanjaan setiap kali ke pasar.
“Sampai bila kita nak berdepan dengan keadaan ini…sudahlah kita terbeban dengan harga minyak yang semakin naik setiap minggu dan sekarang nak makan pun kena kawal disebabkan semuanya mahal-mahal belaka,” katanya.
Seorang lagi pelanggan, V Paru, 53 berkata, kerajaan perlu mengambil langkah segera dalam mengatasi masalah ini kerana rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah sangat terkesan dengan kenaikan harga yang berlaku.
“Kita faham keadaan cuaca dan banjir yang berlaku sebelum ini, tetapi peniaga tak boleh lah menaikkan harga jualan mereka sesuka hati.
“Ada harga jualan yang sampai tak masuk akal seperti ikan kembung yang pernah naik mencecah RM20 sekilogram, sedangkan dahulu sekitar RM8 hingga RM10 sahaja,” katanya.
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]