Ilham buktikan dia anak yang kuat

in Nasional by


KUALA ROMPIN – Ibu mana tidak terharu apabila melihat kejayaan anak perempuannya yang begitu kuat menempuh kesukaran terutama selepas kematian bapa dua tahun lalu.


Kisah itu bagaikan masih segar dalam ingatan Syafiah Nasir, 36, kerana anak sulungnya, Nurul Ilham Safraa Shamsul Ali, 12, perlu menghadapi berita kematian bapanya akibat sakit jantung pada hari pertama peperiksaan akhir tahun ketika darjah empat.


Menurutnya, pada hari itu Nurul Ilham Safraa yang merupakan anak sulung daripada riga beradik menerima ketentuan Ilahi tanpa linangan air mata namun hanya meminta ruang seketika sebelum menjawab peperiksaan.


Katanya, Allahyarham suaminya itu juga merupakan guru di sekolah sama tempat anaknya bersekolah.


“Alhamdulillah dia memang kuat dan tabah menghadapi dugaan ini, dia buktikan dia mampu menjawab peperiksaan dengan baik pada ketika itu serta berjaya mendapat nombor satu.


“Hari ini sekali lagi dia buktikan bahawa dia boleh mendapat keputusan cemerlang bukan sekadar dalam peperiksaan, bahkan dalam aspek lain,” katanya kepada Sinar Harian.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sijil dan Keputusan UPSR di Sekolah Kebangsaan Kampung Kolam, di sini, hari ini.


Syafiah yang bekerja sebagai jururawat turut mengakui anaknya itu sangat komited menyiapkan tugasan yang diberikan guru, jika rakan kumpulannya tidak mampu dia sanggup menyelesaikan sendiri asalkan tugasan disiapkan.


Sementara itu, Nurul Ilham Safraa yang ditemui berkata, walaupun memikul tanggungjawab sebagai Penolong Ketua Pengawas ia tidak mengganggu pelajarannya sebaliknya mengajarnya aspek kepimpinan.


Selain mendapat keputusan 6A, dia juga seorang yang aktif dalam sukan olahraga dan bola jaring, persatuan pengakap sekolah serta mendapat sijil perak dalam program doktor muda.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]