
BATU KAWAN – Jangan jadikan politik sebagai platform perlawanan bagi menentukan siapa yang menang dan kalah sebaliknya ia perlu dijadikan sebagai medan untuk membantu rakyat terutama mereka yang terlibat dengan bencana serta dilanda kesusahan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, disaat rakyat di negeri ini amat memerlukan perhatian dan bantuan selepas terjejas dengan bencana banjir, ahli politik terutama dari pihak kerajaan negeri harus turun padang bersama dalam mencari jalan bagi membantu rakyat dan bukannya menggagalkan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan pusat.
Menurutnya, beliau sendiri sebelum ini telah beberapa kali turun ke negeri ini dalam tempoh seminggu bagi menyalurkan bantuan kepada pesawah dan nelayan termasuk pengusaha sangkar ikan yang terjejas akibat bencana yang berlaku.
“Apa yang menyedihkan apabila ada ahli politik pembangkang termasuk ahli parlimen dari negeri ini cuba menggagalkan apa yang dirancang kerajaan pusat seperti didalam bajet yang dibentangkan sebelum ini malah ada yang melihat politik sebagai satu perlawanan untuk melihat siapa menang siapa kalah seperti permainan bolasepak namun bagi kerajaan, ia adalah platform membantu rakyat yang dilanda kesusahan.
“Sepatutnya mereka perlu duduk bersama bagi mencari jalan untuk membantu rakyat dan bukannya menggagalkan bajet..Saya lihat keresahan yang begitu mendalam sekali selepas rakyat di negeri ini diduga dengan bencana yang menyebabkan mereka mengalami kerugian yang begitu besar,” katanya kepada ketika ditemui media selepas menyampaikan bantuan kepada nelayan dan penduduk Pulau Aman di sini hari ini.
Terdahulu Ahmad Shabery meninjau beberapa sangkar ikan yang musnah dilanda ribut dan air pasang bersama Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Mohd Noor Ahmad.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, bantuan yang disalurkan haruslah ikhlas dan semua pihak perlu mencari jalan terbaik meredakan keresahan rakyat yang menjadi mangsa termasuk pengusaha ikan yang kerugian puluhan juta ringgit.
Beliau berkata, usaha kerajaan membantu mereka sukar dilaksanakan sekiranya hanya satu pihak yang bertindak manakala satu pihak lagi mencuba sedaya-upaya menggagalkannya.
Dalam pada itu kementerian menyalurkan bantuan lebih RM3 juta bagi sektor perikanan Pulau Pinang termasuk membantu 280 nelayan dan penternak ikan yang terkesan dengan banjir melibatkan peruntukan RM930,000 manakala baki lebih RM2 juta lagi untuk membaiki infrastruktur perikanan yang rosak.
Source: SH Politik
[featured-video-plus]