
POKOK SENA – Keadaan jalan Kampung Kepala Bukit, Mukim Tualang, di sini yang rosak dan mendap mengundang bahaya kepada penduduk terutamanya pelajar dan kanak-kanak.
Difahamkan aduan sudah dilakukan malah sejak 2015 lagi beberapa rayuan dihantar kepada pihak berkenaan namun sehingga kini tiada tindakan diambil.
Mohd Shuib Karim, 59, berkata, jalan itu semakin mendap selepas tiada penyelenggaraan di lakukan sejak di turap pada 2000 lalu.
Menurutnya, masalah itu bermula apabila kerja menanam paip air dilakukan hingga merosakkan jalan di sepanjang jalan kampung itu.
“Keadaan semakin serius lagi apabila kenderaan berat menggunakan jalan itu hingga terdapat beberapa mendapan berlaku.
“Penggunaan lori menghantar air ke kampung setiap hari menyebabkan jalan itu semakin berlopak dan menjejaskan aktiviti harian penduduk di sini,” katanya.
Katanya, kini penduduk terpaksa berhati-hati setiap kali menggunakan jalan itu kerana bimbang kenderaan mereka bergesel akibat mendapan tanah.
“Bagi penunggang motosikal pula mereka terpaksa berhati-hati kerana jalan yang berlopak sering menimbulkan masalah,” katanya.
Dalam pada itu, tambahnya, penduduk sendiri terpaksa mengambil inisiatif menambak jalan yang berlopak.
“Tapi tak bertahan lama, bila tiba musim hujan habis rosak balik,” katanya.
Mohd Asri Shaari, 50, pula berkata, keadaan jalan yang berlopak itu menyebabkan pelajar yang menggunakan basikal sering menjadi mangsa lopak jalan itu.
Katanya, pernah beberapa pelajar yang hendak ke sekolah terjatuh dan terpaksa pulang ke rumah semula bagi menukar pakaian mereka selepas basikal mereka tergelincir di dalam lopak itu.
“Saya berharap masalah ini akan dapat perhatian dari pihak berkenaan bagi membaiki serta menurapnya kembali. “Ini disebabkan sejak akhir-akhir ini banyak jalan rosak di kampung berdekatan sudah pun diturap kembali,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kepala Bukit, Mohd Mokhtar Noor berkata, masalah berkenaan sudah pun dimaklumkan kepada Ketua Umno Bahagian Pokok Sena.
Katanya, pihaknya sudah pun memohon kepada pihak berkenaan bagi kerja menurap semula sepanjang lima kilometer di kawasan jalan yang bermasalah .
“Saya harap penduduk dapat bersabar kerana permohonan bagi menurap jalan itu sudah pun dalam proses,” katanya.
Source: SH Edisi Utara
[featured-video-plus]