
KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi dan Teknikal Kelapa Sawit bagi mewujudkan pemahaman yang lebih jelas mengenai pelbagai isu berkaitan minyak sawit.
Resolusi ini dibuat selepas perjumpaan antara Menteri MPIC, Datuk Seri Mah Siew Keong dan seorang anggota Palimen Kesatuan Eropah (EU), Daniel Hannan pada Jumaat.
Mah berkata, jawatankuasa itu akan disertai wakil khas duta-duta EU di Malaysia.
“Penubuhan jawatankuasa khas ini adalah penting dalam mengukuhkan peranan duta bagi memastikan maklumat tepat dan tidak berat sebelah kepada negara EU.
“Cadangan menubuhkan jawatankuasa itu juga menjadi bukti kesediaan serta komitmen berterusan kerajaan Malaysia untuk bekerjasama dengan negara EU mengenai isu berkaitan pembangunan mampan sektor minyak sawit,” katanya dalam satu kenyataan.
Mah menekankan yang publisiti negatif berterusan mengenai isu minyak sawit akan melembapkan pembangunan ekonomi di kedua-dua negara yang bergantung kepada eksport minyak sawit dan produk sawit.
“Publisiti negatif akan menjejaskan permintaan global untuk minyak sawit dan secara tidak langsung menyumbang kepada kejatuhan harga.
“Oleh itu, kerajaan melalui MPIC serta agensi lain yang berkaitan akan melihat perkembangan di Parlimen EU secara serius dan bersedia untuk melindungi kepentingan 650,000 pekebun kecil kelapa sawit di negara ini,” tambahnya.- Bernama
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]