
MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa membuat pemeriksaan dari segi aspek pematuhan di semua cawangannya di setiap negeri bagi memastikan kakitangan awam, anggota dan pegawainya mempunyai nilai integriti yang tinggi.
Pengarah Integriti JPJ, Jamil Mohd Dahalan berkata, nilai integriti penting dalam memastikan sistem penyampaian dan perkhidmatan jabatan kepada dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Kita memandang serius soal berkaitan nilai atau isu integriti dalam kalangan kakitangan kerana ianya penting untuk pembangunan negara.
Integriti juga penting bagi memastikan bahawa transformasi jabatan dapat direalisasikan dalam Pelan Strategik 2016-2020 yang telah dirangka mengikut petunjuk prestasi utama,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah JPJ Melaka di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan ikrar bebas rasuah yang dilafazkan 294 kakitangan awam, anggota serta pegawai JPJ Melaka diketuai pengarahnya Muhammad Firdaus Shariff dan dihadiri Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Abu Talib Othman.
Jamil berkata isu integriti dalam kalangan kakitangan awam, anggota dan pegawainya adalah terkawal dan ia tidak melibatkan kesalahan jenayah yang besar.
Beliau berkata berdasarkan rekod antara masalah integriti yang sering berlaku dalam kalangan mereka ialah tidak hadir bertugas atau salah guna kad pas pejabat dan tindakan diambil mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana kakitangan yang didapati melanggar nilai integriti yang sepautnya dan sekiranya ada antara mereka yang melakukan jenayah termasuk rasuah, kita akan serahkan pada SPRM,” katanya.
Katanya selain itu, pelbagai program berkaitan integriti turut dilaksanakan secara berterusan bagi meningkatkan tahap integriti dalam kalangan kakitangan jabatan itu.
Sementara itu, Abu Talib berkata lebih 100 agensi dan jabatan negeri serta persekutuan masih belum melakukan Ikrar Bebas Rasuah dalam usaha membasmi amalan rasuah dalam kalangan kakitangan mereka.
Bagaimanapun, beliau berkata usaha berkenaan dijangka dapat dilaksanakan secara menyeluruh selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.
“Ikrar ini bukan satu paksaan tetapi ia atas kapisiti seorang individu yang berkhidmat dengan organisasi tertentu untuk tidak sama sekali terlibat dalam sebarang bentuk perlakukan jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa sepanjang berkhidmat serta ia merupakan satu komitmen yang akan ditandatangani dalam bentuk dokumen,” katanya. – Bernama
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]