Kastam akan cadangkan pindaan akta

in Nasional by


SITIAWAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mencadangkan pindaan terhadap beberapa akta bagi membolehkan pelaksanaan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai, tahun hadapan, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri T Subromaniam.


Beliau berkata, antara akta terlibat ialah Akta Cukai Barang dan Per­khidmatan 2014 dan Akta Kastam 1967.


“Saya baru ke Pulau Pangkor minggu lepas bersama pengarah kastam negeri dan kami ada perbincangan dengan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.


“Secara dasarnya kami dah bersetuju (berkenaan Pulau Bebas Cukai) yang akan dilaksanakan tahun hadapan, cuma sebelum diisytiharkan pulau bebas cukai, ada beberapa pindaan perlu dibuat dalam Akta Kastam dan Akta GST, katanya.


Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Operasi Patroli Laut Terkoordinasi Kastam Malaysia Indonesia (Patkor Kastima) Siri 32B 2017 di Pangkalan Marin Kastam Kampung Acheh di sinihari ini.


Turut hadir Direktur Jenderal Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC)  Indonesia, Heru Pambudi.


Terdahulu, Subromaniam dalam ucapannya berkata Patkor Kastima melibatkan dua fasa iaitu fasa permukaan Patkor Kastima 23A yang berlangsung di Indonesia pada 7 Sept hingga 20 Sept lalu dan fasa penutup Operasi Patkor Kastima Siri 32 B yang dijalankan sejak 8 November  lalu sehingga hari ini.


Beliau berkata Patkor Kastima yang dilaksanakan sejak 1994 itu bertujuan membanteras kegiatan penyeludupan di perairan Selat Melaka dengan kerjasama antara kedua-dua pihak berkuasa negara terlibat.


“Operasi Patkor diteruskan untuk meningkatkan keyakinan pelaut dan membanteras aktiviti penyeludupan. Ia diyakini akan menutup peluang penyeludup bagi jangka masa panjang selain menyekat rantaian bekalan dalam kegiatan mereka.


“Jika lihat secara mendalam, kesemua  adalah jenayah merentas negara dan bersifat tanpa sempadan dan disebabkan itu strategi perlu dilakukan,”katanya.


Lebih 120 anggota dan pegawai JKDM dan DJBC terlibat dalam operasi tersebut dengan 17 buah bot digunakan bagi operasi yang melibatkan enam sektor rondaan di Malaysia dan lima sektor rondaan di Indonesia.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]