
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merancang untuk membangunkan semula kawasan perbandaran padat yang dilihat tidak lagi sesuai untuk didiami rakyat pada masa ini.
Menteri berkenaan, Tan Sri Noh Omar berkata, pembangunan semula itu akan melibatkan penempatan atau rumah flat yang mempunyai satu atau dua bilik.
“Satu kongres akan diadakan pada Januari (2018) untuk membincangkan perkara ini dengan pihak yang berkaitan secara lebih mendalam. Sehingga kini, 70 peratus penduduk mendiami kawasan bandar maka kementerian harus merancang dan memikirkan satu tindakan yang memberi keselesaan kepada rakyat.
“Dalam kongres itu, kita akan berbincang bagaimana menyusun semula perumahan dilihat usang dengan melakukan pembangunan semula dengan ruang rumah lebih selesa, sesuai dengan satu-satu kawasan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Pihak Berkuasa Tempatan 2017 di sini hari ini.
Mesyuarat berlangsung tiga hari itu disertai Datuk Bandar, Yang Dipertua dan Pengerusi dari 117 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), wakil kerajaan dan agensi pusat seluruh negara.
Noh berkata Singapura melakukan pembangunan semula untuk kawasan perumahan mereka yang usang malah konsep pembangunan semula Flat PKNS di Kerinchi di sini, dengan menggantikannya dengan Kerinchi Residensi melalui ruang tamu, bilik lebih luas dan selesa adalah satu projek pembangunan semula yang berjaya dilaksanakan.
“Pembangunan semula ini akan memberi wajah baharu kepada kawasan perumahan usang, ia juga akan dilengkapi dengan kemudahan lebih selesa dan selamat,” katanya.
Sementara itu, Noh berkata pihak berkuasa tempatan diarahkan mewujudkan pusat sehenti bagi mempercepat dan memudahkan permohonan yang membabitkan projek perumahan di bawah kerajaan persekutuan.
“PBT harus memberi keutamaan kepada projek perumahan oleh kerajaan kerana ia dibangunkan untuk kesejahteraan rakyat. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan projek perumahan di bawah kerajaan persekutuan,” katanya.
Dalam Bajet 2018, perdana menteri berkata kerajaan akan merancakkan lagi usaha pemilikan rumah untuk rakyat dengan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi pelaksanaan beberapa projek perumahan rakyat.- Bernama
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]