
AMBANK (M) Berhad memperkenalkan penyelesaian pembiayaan dikenali sebagai SME Biz Property Extra untuk bantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkelayakan dalam pembelian hartanah (pembiayaan aset).
Kemudahan pembiayaan baharu itu turut membantu PKS mendapatkan akses kepada margin pembiayaan lebih tinggi dalam membiayai keperluan modal kerja (pembiayaan modal kerja) mereka dengan menggunakan cagaran yang sama.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, SME Property Extra merupakan pakej pembiayaan yang sebahagiannya dijamin dengan disertakan 70 peratus liputan jaminan portfolio (PG) Credit Guarantee Malaysia Bhd (CGC).
Menurutnya, AmBank yakin produk pembiayaan baharu itu dapat mencapai segmen PKS yang lebih luas di negara ini, dengan margin pembiayaan sehingga 148 peratus dan had modal kerja yang tinggi sehingga RM3 juta.
“Dengan jaminan CGC, perbankan PKS AmBank dapat memberikan peluang kepada ramai pemohon membuat kemudahan pinjaman dan kelulusan pembiayaan lebih cepat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Perbankan Runcit AmBank, Jade Lee berkata, perbankan PKS AmBank memperuntukkan saiz portfolio awal bernilai RM100 juta yang menjangkau semua pelanggan PKS berkelayakan bagi produk itu.
“Sejak Januari 2015, Kumpulan AmBank memulakan tujuh bahagian jaminan portfolio bersama CGC berjumlah RM1.35 bilion, dengan RM750 juta daripadanya di bawah sektor perbankan PKS,” katanya.
Permohonan SME Biz Property Extra boleh didapati di semua 175 cawangan AmBank di seluruh negara.
Source: SH Bisnes
[featured-video-plus]