
PUTRAJAYA – Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) 2017 di Dataran Putrajaya bermula hari ini dengan penyertaan 35 negara.
Bertemakan Kraf Menyatukan Masyarakat, festival yang berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam itu menawarkan produk kraftangan tempatan dan antarabangsa selain fesyen dan makanan.
Yang menarik perhatian pengunjung pada hari pertama KLICF hari ini antaranya ialah gerai dari Turki yang menjual aiskrim dan baklava.
Turut menjadi tumpuan ialah gerai pameran Argentina yang mempamerkan pakaian sejuk negara itu iaitu poncho yang dibuat dari bulu biri-biri berharga RM2,000 dan produk batik Argentina.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup merupakan kenamaan pertama yang melawat KLICF dengan meninjau gerai produk kraf etnikDusun dan Murut dari Sabah.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim ketika ditemui pada sesi tinjauan media KLICF hari ini berkata, Putrajaya dipilih sebagai lokasi kali ini kerana kawasan yang lebih luas.
“Ini memandangkan penyertaan negara dalam KLICF tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lalu hanya 26 negara,” katanya.
Negara yang menyertai KLICF 2017 antaranya ialah Hungary, Ukraine, Ecuador, India dan Sri Lanka.
KLICF 2017 berlangsung sehingga Ahad. – Bernama
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]