Kod tata amalan lindung data peribadi

in Nasional by


PUTRAJAYA – Pelaksanaan kod tata amalan bagi sektor komunikasi dan telekomunikasi dalam negara bermula hari ini bagi melindungi dan menjamin keselamatan data peribadi  pengguna.


Pesuruhjaya Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Khalidah Mohd Darus berkata kod tata amalan itu adalah satu dokumen perundangan bagi menjadi rujukan atau panduan kepada golongan pengguna data dalam sektor komunikasi untuk melaksanakan peruntukan dalam Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) (Akta 709).


“Isu-isu yang berlaku kebelakangan ini menunjukkan bahawa  betapa pentingnya organisasi perlu memantapkan sistem tadbir urus dalam mengendalikan data peribadi pelanggan.


Dengan adanya kod tata amalan ini, organisasi akan menguruskan data peribadi secara berhemah, berintegriti dan cekap agar wujud kepercayaan dan keyakinan kepada pelanggan untuk terus berurusan dengan sektor komunikasi, khususnya syarikat telekomunikasi. Ini akan memberi kebaikan dan manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.


Khalidah berkata demikian kepada media pada majlis menandatangani kod tata amalan sektor komunikasi itu di sini hari ini.


Sebelum itu, beliau mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil syarikat telekomunikasi dalam negara.


Khalidah berkata syarikat-syarikat telekomunikasi diberi ‘tempoh tangguh’ selama enam bulan untuk pelaksanaan sepenuhnya peraturan yang terdapat dalam kod tata amalan itu.


Beliau berkata  sektor komunikasi perlu mematuhi tujuh prinsip perlindungan data peribadi  dengan  adanya kod tata amalan itu.


Ia melibatkan prinsip am, notis dan pilihan, prinsip penzahiran , keselamatan, penyimpanan , integriti data dan akses dalam Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) (Akta 709), katanya.


“Ketidakpatuhan kepada kod tata amalan ini merupakan  satu kesalahan di bawah Seksyen 29 Akta 709 dan jika disabit  kesalahan boleh didenda sebanyak RM100,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.


Beliau turut menyaran syarikat telekomunikasi mengadakan  program kesedaran, latihan dan pendidikan untuk membimbing ahli-ahli mereka dalam pelaksanaan tujuh prinsip   perlindungan  data peribadi di organisasi masing-masing.


“Latihan bukan hanya melibatkan pihak atasan, pertengahan tetapi juga bawah  terutamanya barisan hadapan yang mengurus data peribadi  kerana mereka adalah titik hubungan pertama dengan pelanggan,” katanya.


Sektor komunikasi merupakan sektor kelima golongan pengguna data yang membangunkan kod tata amalan. Sektor lain yang membangunkan kod tata amalan ialah sektor utiliti elektrik, insurans, perbankan, pengangkutan (penerbangan).


Khalidah berkata banyak lagi sektor perniagaan dalam golongan pengguna data akan menguatkuasakan kod tata amalan sedemikian dari semasa ke semasa.


“Antara sektor yang di peringkat draf akhir untuk membangunkan kod tata amalan termasuk perundangan,  utiliti air, pajak gadai, pelancongan dan hospitaliti,” katanya.


Sementara itu, Ketua Keselamatan Sistem dan Maklumat (CISO) Maxis, Siva Nithiananthan  berkata syarikat itu mengalu-alukan kod tata amalan berkenaan yang akan dipatuhi apabila memproses data peribadi.


“Kami memberikan perhatian utama kepada privasi data. Ini  merupakan lanjutan daripada memiliki keseragaman dalam industri. Sekarang kami mempunyai kaedah yang sama dalam mematuhi akta itu,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]