Misi King Gobal buat The Red Ants

in Sukan by


PENGENDALI baru PKNS FC, Datuk K Rajagobal mahu memastikan The Red Ants menjadi sebuah pasukan berdaya saing musim hadapan.


Keyakinan itu disuarakan Rajagobal selepas sah dilantik sebagai pengendali pasukan itu semalam.


Menurutnya, beliau yakin dengan kemampuan pasukan Lembah Klang itu dan komited untuk membawa pasukan berada di kedudukan lebih baik berbanding tempat ketujuh musim lalu.


“Tekad saya adalah untuk memastikan PKNS dapat beri cabaran kepada pasukan lebih hebat selain mahu pasukan ini dikenali dan dihormati sebagai sebuah pasukan kuat.


“Namun, kita kena realistik dengan sasaran yang mahu ditetapkan dan cuba terbaik musim hadapan, “katanya.


Rajagobal, 61, menandatangani kontrak selama setahun bersama kelab yang pernah dibimbingnya itu pada 1990 hingga 1998.


Mengulas mengenai pelantikannya itu, beliau tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran tersebut, selain menyifatkan tindakkannya dibuat atas dasar ‘keputusan dari tuhan’.


“Saya sifatkan penerimaan tugas ini adalah keputusan daripada tuhan. PKNS juga adalah tempat permulaan karier saya sebagai pemain dan juga kakitangan.


“Ia juga sebagai tanggungjawab saya untuk balik dan menabur bakti bersama PKNS selain mencurahkan pengalaman saya sebagai jurulatih,” katanya.


Sementara itu, mengulas mengenai pemain yang akan dibawa masuk menyertai pasukan, kata bekas pengendali skuad kebangsaan itu, beberapa pemain sudah berada dalam senarai untuk diserapkan selain akan mengadakan sesi pemilihan untuk tonggak import.


“Saya tidak akan membawa pemain-pemain yang saya kenal sebaliknya memilih pemain yang betul-betul boleh beraksi di PKNS,” katanya.


Untuk rekod, Sarawak menjadi pasukan terakhir dikendalikan Rajagobal pada 2015.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]