
BALING – Seorang ibu dari Kampung Teluk Sanau berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling dapat menyambung semula bantuan kepada anaknya yang merupakan OKU.
Che Nah Che Nai, 57, berkata, bantuan kewangan kepada Mohd Fazli Nayan, 18, dihentikan JKM sejak anak bongsunya itu berusia 10 tahun.
“Anak dapat bantuan JKM RM150 sebulan waktu umur 10 tahun. Dengan duit itulah mak cik guna untuk urus persekolahannya. Tapi bila dah dipotong, mak cik tampung belanja sekolah dia guna upah berniaga sate.
“Tiga hari dapatlah RM40. Enam anak lain pun hanya kerja kampung. Lima dah kahwin dan ada tanggungan sendiri,” katanya ketika ditemui di kediamannya, kelmarin.
Menurutnya, permohonan lain pernah dibuat, tetapi ditolak.
“Permohonan ditolak sedangkan saya perlu bantuan itu untuk uruskan persekolahan anak. Saya harap JKM dapat mempertimbangkan keperluan saya untuk dapatkan bantuan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai JKM Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, bantuan bagi pelajar OKU di sekolah menengah dibayar melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Pelajar akan dibayar RM150 oleh JPN setiap bulan. Tapi bila tamat persekolahan, bantuan itu akan disambung JKM.
“Kita saran individu tersebut bekerja ringan atau melakukan sebarang pekerjaan selepas tamat sekolah untuk kita salur elaun pekerja cacat RM400 sebulan,” katanya.
Source: SH Edisi Utara
[featured-video-plus]