
KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bercadang untuk meneliti sebuah akta baharu bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap sebarang perbuatan diskriminasi dalam industri perhotelan terutamanya perkara yang melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, buat masa ini, akta sedia ada di bawah kementeriannya tidak mempunyai peruntukan tersebut untuk membolehkan tindakan dikenakan terhadap individu yang melakukan perbuatan sedemikian.
“Sekiranya akta itu wujud dan menyatakan perbuatan diskriminasi tidak boleh dilakukan maka tindakan boleh diambil. Setakat ini, akta sedia ada di bawah kementerian saya tidak mempunyai peruntukan itu.
“Jadi, jika perlu kita boleh bawa perkara ini dibincangkan bagi mewujudkan akta baharu untuk membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana individu atau perbuatan yang melanggar Perlembagaan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) yang ingin tahu bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap hotel yang melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) diskriminasi selain sama ada kementerian bercadang mewujudkan peraturan khas untuk menangani isu tersebut.
Dalam pada itu, Mohamed Nazri turut mencadangkan pihak hotel menyelaraskan pakaian seragam kakitangannya di kaunter hadapan selari dengan tuntutan agama dan budaya semua masyarakat bagi mengelakkan unsur diskriminasi.
“Bukan setakat berlaku pada umat Islam sahaja, saya tengok kakitangan terdiri daripada wanita India pakai sari bekerja di kaunter ataupun lelaki Punjabi Sikh yang memakai serban mungkin menghadapi isu sama, kita tidak pernah soal mengenai hal itu. Mungkin ada dasar mereka tidak membenarkan pemakaian sari dan mungkin dipaksa pakai ‘skirt’.
“Kita sebagai sebuah negara berbilang kaum, apa salahnya pakai satu uniform sama, dibuat untuk sari, serban dan tudung disertakan dengan logo hotel, itu yang perlu dilakukan,” katanya menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas-Rantau Panjang). – Bernama
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]