Pembukaan hutan simpan untuk ECRL sangat minima

in Nasional by


KUANTAN – Kerajaan negeri komited dalam memastikan pembukaan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Galing di sini, bagi tujuan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilakukan secara minima.


Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri akan memastikan pengeluaran hasil hutan dilakukan selaras dengan peraturan yang ditetapkan iaitu hanya untuk membina landasan keretapi tersebut.


“Selaras dengan Seksyen 11, Akta Perhutanan Negara 1984, pihak berkuasa negeri boleh mengeluarkan kawasan tanah dari HSK bagi tujuan kegunaan ekonomi yang lebih tinggi daripada kegunaan yang sedang dilakukan sekarang, dengan pembukaan hutan yang minima.


“Kerajaan negeri komited untuk merealisasikan komitmen nasional tersebut,” katanya pada persidangan Dun Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.


Adnan menjawab soalan Lee Chean Chung (PKR-Semambu) yang ingin tahu adakah kerajaan negeri akan membenarkan ‘pencerobohan’ ke atas HSK Galing bagi pembangunan projek ECRL. ¬†


Sementara itu, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata seramai 4,221 pekebun kecil getah  menerima bantuan Skim Insentif Produktiviti Getah berjumlah RM2.4 juta tahun ini.


Bantuan ini meliputi pemberian subsidi baja, racun dan penggalak susu, manakala 555 individu menerima Skim Pengekalan Pengeluaran Getah bernilai RM400,000 meliputi subsidi baja, mangkuk getah dan kelengkapan menoreh.


“Sebanyak dua Pusat Pengumpulan Hasil Getah bernilai RM50,000 juga dilaksanakan bagi membantu 400 pekebun kecil dan banyak lagi bantuan lain yang diberikan kerajaan menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Lembaga Getah Malaysia,” katanya.


Shafik Fauzan menjawab soalan Choong Siew Onn (DAP-Tras) yang ingin tahu bantuan yang diberikan kepada pekebun kecil getah kerana menyifatkan bantuan musim tengkujuh pekebun oleh kerajaan hanya bersifat sementara.


Menjawab soalan tambahan Andasura Rabu (PAS-Beserah), beliau memaklumkan bahawa getah masih menjadi antara komoditi utama Pahang, merujuk kepada tindakan Yayasan Pahang yang terus menerajui projek tanaman getah dalam skala besar.


Andasura dalam soalannya berkata ia ekoran tindakan pekebun kecil yang kebanyakannya dilihat sudah beralih kepada tanaman sawit selepas menebang pokok getah mereka. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]