Pertumbuhan ekonomi Johor lebih baik

in Edisi Johor by


ISKANDAR PUTERI – Pertumbuhan ekonomi Johor melepasi kadar direkodkan untuk Malaysia setiap tahun sejak 2011 hingga tahun lalu.


Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keadaan itu disumbangkan oleh faktor ekonomi Johor yang digerakkan oleh kekuatan pelbagai sektor.


Menurutnya, ia tidak terlalu tertumpu kepada hanya satu sektor pendorong.


“Johor adalah negeri ketiga terbesar bagi semua sektor utama negara kecuali perlombongan,” katanya pada ucapan pembentangan Bajet Johor 2018 di Kota Iskandar, di sini hari ini.


Mohamed Khaled berkata, bagi tahun 2016, Johor mencatatkan kadar pertumbuhan 5.7 peratus iaitu ketiga tertinggi selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.


“Kadar ini bukan sahaja melepasi unjuran awal pertumbuhan KDNK 2016 iaitu 4.9 peratus.


“Malah nilai KDNK sendiri telah meningkat daripada RM98.9 bilion kepada RM104.5 bilion. Jumlah ini menyumbang kepada 9.4 peratus KDNK nasional,” katanya.


Beliau berkata, secara asasnya, unjuran semula pertumbuhan ekonomi pada tahun ini telah berkembang pada kadar 5.9 peratus hingga 6.3 peratus.


“Yakni lebih tinggi daripada unjuran asal iaitu pada 4.5 peratus hingga 5.5 peratus semasa ucapan bajet saya yang lepas.


“Ini berikutan beberapa indikator ekonomi dan perniagaan menunjukkan petanda yang lebih positif seperti dilaporkan dalam ‘Business Condition Index Survey’ yang dijalankan pihak ‘Malaysian Institute of Economic Research (MIER),” katanya.


Mohamed Khaled berkata, bagi tahun 2018, unjuran pertumbuhan ekonomi Johor dianggarkan pada kadar sekitar 5.5 peratus hingga 6 peratus.


“Dua sektor utama kekal menjadi penyumbang utama kepada KDNK Johor iaitu sektor pembuatan dan perkhidmatan,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]