Pesakit kanser ceria ambil keputusan UPSR

in Edisi Johor by


PONTIAN – “Terima kasih cikgu dan kawan-kawan” kata pesakit kanser, Muhammad Nabil Halimi Mohd Nasir, 12 sewaktu mengambil keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah ( UPSR) di Sekolah Kebangsaan Pekan Nanas, di sini, tadi.


Kehadiran Nabil yang ditemani oleh ibunya Hawa Selamat, 39, tidak putus-putus disapa rakan-rakan, ibu bapa dan guru-guru yang bertanya khabar dan memberikan kata-kata sokongan.


Menurut Hawa, anaknya sulung itu dikesan menghidap penyakit kanser buah pinggang pada bulan Julai lalu setelah mengalami demam dan muntah yang berulang.


Katanya, pembedahan membuang appendix dijalankan setelah anaknya itu dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.


Bagaimanapun beberapa ujian yang dijalankan doktor selepas pembedahan mendapati Nabil menghidap kansel buah pinggang.


“Nabil menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Sultan Ismail ( HSI) Johor Bahru.


“Saya masih ingat, sehari  sebelum menduduki peperiksaan UPSR, Nabil baharu sahaja rawatan kimoterapi.


“Keadaan dirinya sangat lemah ketika itu. Tetapi Nabil tetap mahu menduduki UPSR di atas katil hospital,”katanya dengan nada sebak.


Hawa memberitahu, buah pinggang di sebelah kanan anaknya telah rosak dan telah dibuang menerusi pembedahan yang dijalankan pada bulan Oktober lalu.


Jelasnya, dia sentiasa bersama Nabil membantu mencari bahan rujukan untuk Nabil yang bersungguh-sungguh mahu menduduki UPSR.

Nabil (duduk, dua dari kanan) berkongsi kegembiraan dengan rakan-rakan sewaktu mengambil keputusan UPSR hari ini.


“Saya cukup terharu dengan sokongan diberikan guru-guru yang datang ke rumah semata-mata mahu menghantar bahan rujuakan dan memberi tunjuk ajar kepada Nabil,” katanya.


Tambahnya lagi, anaknya itu mahu mengambil sendiri keputusan UPSR bersama rakan-rakan yang sudah lama tidak ditemuinya.


“Nabil ada beritahu kawan yang paling dirindui ialah Zakuan,” katanya.


Bagi Hawa, dia dan suami, Mohd Nasir Lazim 41 yang merupakan jurutera akan sentiasa berada di sisi Nabil memberi kata-kata semangat dan sokongan untuknya kembali pulih dan ceria.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]