Pinjaman pengajian tinggi tidak dikenakan faedah

in Edisi Johor by


ISKANDAR PUTERI – Semua pinjaman pengajian tinggi Johor tidak akan dikenakan sebarang caj dan faedah mulai tahun depan.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia termasuk yang disediakan oleh Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).


Menurutnya, kerajaan negeri bersetuju untuk memansuhkan kos perkhidmatan empat peratus bagi peminjam baharu dan peminjam yang dijadualkan mula membayar balik pinjaman pada tahun depan.


“Pemberian pinjaman itu dikenali sebagai ‘qard hassan’ dalam sistem kewangan Islam.


“Sehingga hari ini, YPJ telah memperkenalkan pelbagai penambahbaikan kepada Skim Pinjaman Pelajaran YPJ termasuklah pemberian pengecualian bayaran balik pinjaman bagi peminjam yang berjaya mendapat diploma dan ijazah sarjana muda kelas pertama,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Johor 2018 di Dewan Dun Johor, Kota Iskandar di sini hari ini.


Mohamed Khaled berkata, YPJ juga akan memperuntukkan RM20.35 juta bagi pinjaman pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).


Katanya, jumlah tersebut akan memberi manfaat kepada kira-kira 3,290 mahasiswa.


“Ia akan disalurkan melalui antranya Biasiswa Sultan Ibrahim kepada lima pelajar cemerlang Johor yang menerima tawaran menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah serta biasiswa sukan atlet Johor,” katanya.


Beliau berkata, peruntukan RM500,000 turut diumumkan dalam skim pinjaman baharu khusus untuk membiayai 20 pelajar cemerlang Johor yang ditawarkan tempat pengajian di mana-mana universiti antarabangsa swasta terletak dalam EduCity.


“Johor merupakan antara negeri yang mempunyai banyak universiti serta institusi pengajian tinggi antarabangsa serta menawarkan pelbagai program pengajian dan kerajaan negeri tidak akan membiarkan anak-anak Johor sekadar menjadi pemerhati kepada semua ini,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]