Sekretariat Sukma 2020 dibentuk tahun hadapan

in Sukan by


SEBUAH sekretariat akan dibentuk tahun depan bagi membantu kerajaan negeri menyelaras persiapan ke arah penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2020 dengan suntikan dana sebanyak RM10 juta secara berperingkat untuk pelaksanaannya.


Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri juga akan menaik taraf beberapa kemudahan latihan atlet dan prasarana Sukma 2020 termasuk Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor.


Penaiktarafan kompleks itu akan melibatkan kos keseluruhan RM15 juta, namun, sebagai permulaan, hanya RM2.5 juta diperuntukkan dahulu pada tahun depan.


Penaiktarafan lain pula melibatkan Trek Kompleks Sukan Kluang dengan kos sebanyak RM3.2 juta; Stadium Mini Kluang dengan kos keseluruhan RM5 juta dan pembinaan Stadium Mini dan Balapan Johor dengan kos berjumlah RM8 juta.


“Kerajaan negeri juga akan mewujudkan Program Pembangunan Atlet Titanium 20 (Ti20) iaitu Modal Khas Pembangunan Sukan ke arah kecemerlangan Sukma 2020.


“Atlet-atlet yang mempunyai prospek memenangi pingat akan diserapkan ke dalam program ini untuk menjalani latihan insentif fizikal dan mental,” katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2018 di Dewan Undangan Negeri Johor, di Kota Iskandar, hari ini.


Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata hasrat menjadikan Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa akan diteruskan pada tahun depan termasuk mewujudkan Pusat Warisan Negeri Johor dengan menjadikan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar sebagai pusat sehenti bagi aktiviti kebudayaan negeri Johor.


Beliau berkata sebanyak RM10.4 juta dipertuntukkan bagi tujuan menaik taraf bangunan, pengisian Galeri Tenun dan penyediaan Galeri Seni Johor di lokasi itu.


“Kita juga akan memperkenalkan semula Kain Benang Johor sebagai langkah memelihara warisan budaya dengan menghasilkan produk tenun secara komersial sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Johor,” katanya. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]