'Seminggu harga naik tiga kali'

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – “Kenaikan harga ayam berlaku sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu,” kata peniaga ayam, Fakrul Rumidi Abdul Aziz, 34.


Fakrul Rumidi berkata, kenaikan harga RM1 dalam tempoh tersebut tidak dapat dielak berikutan dipengaruhi kenaikan harga daripada penternak menyebabkan pihak peniaga juga terpaksa menaikkan harga.


“Saya letak RM8.50 sekilo harga runcit berbanding harga runcit sebelum ini iaitu kira-kira RM7.50,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pasar Borong Gong Pauh, semalam.


Berdasarkan pengalaman sebelum ini, Fakrul tidak menolak kenaikan mungkin akan berlaku berikutan permintaan meningkat sempena musim cuti sekolah.


Dalam masa sama katanya, kenaikan harga juga tidak lari daripada konsep permintaan dan bekalan yang turut mempengaruhi kenaikan harga barangan tersebut.


Tinjauan Sinar Harian mendapati, kenaikan tersebut bukan hanya berlaku terhadap ayam, malah faktor permintaan dan bekalan turut mempengaruhi kenaikan harga sayur dan ikan.


Peniaga sayur, Izaman Abdullah, 46, berkata, kenaikan harga sayuran tidak terkecuali mengalami kenaikan sejak semalam.


Jelasnya, permintaan yang tinggi mempengaruhi harga sayur-sayuran khususnya beberapa jenis sayur  yang terlibat dalam penyediaan makanan sempena majlis dan kenduri kahwin di negeri ini sepanjang musim cuti  persekolahan yang baru sahaja bermula.


Izaman berkata, antaranya, kacang, timun, lada dan labu air mengalami kenaikan RM1 hingga RM2 sejak semalam.


“Kacang berharga RM5 sekilo berbanding RM4 semalam (kelmarin), timun RM2 sekilo berbanding RM1.3 sebelum ini, labu air berharga RM4 sekilo berbanding RM3 manakala lada bernilai RM8 sekilo hari ini (semalam),” katanya.


Bagi peniaga ikan, Badariah Mat Nor, 53, memberitahu kenaikan  harga ikan berlaku sejak sebulan yang lalu dan harganya juga tidak menentu sejak awal tahun lalu.


Selain bergantung kepada permintaan dan bekalan, Badariah tidak menolak faktor ekonomi turut mempengaruhi kenaikan harga ikan.


Menurutnya, ikan tongkol berharga RM11 hingga RM12 sekilo, ikan kembung RM14 sekilo dan ikan kerisi bernilai RM15 sekilo.


“Harga ikan tiada kena mengena dengan cuti musim perayaan, sekolah atau sebagainya tetapi bergantung pada permintaan dan bekalan.


“Kalau bekalan yang sampai kurang, harga akan naik, sebaliknya kalau bekalan banyak, harga ikan akan turun. Bagaimanapun sejak sebulan yang lalu, harga ikan mengalami kenaikan,” katanya.


Badariah yang mengambil bekalan ikan dari Pulau Kambing dan juga  luar  Terengganu tidak menolak musim tengkujuh turut menjadi faktor kenaikan harga ikan.


Peniaga itu berpendapat harga berkenaan disebabkan sumber laut  itu agak kurang berikutan kekangan mendapatkannya di laut pada musim ini sedangkan permintaan tidak pernah berkurang.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]