
PONTIAN – Penduduk Kampung Kebun Baru Kukup di sini, berdepan risiko banjir kilat kesan fenomena air pasang besar ketika musim tengkujuh yang melanda pada penghujung tahun.
Penduduk sudah lali dengan banjir kilat yang sering berlaku, namun dalam masa sama mereka berharap agar dipindahkan ke penempatan baharu.
Penduduk, Mariani Abu, 44, berkata, sudah sampai masanya untuk kira-kira lapan keluarga di situ dipindahkan ke penempatan baharu memandangkan kawasan kediaman sedia ada terletak di kawasan yang rendah.
Menurutnya, kawasan kediaman yang rendah terdedah dengan ancaman banjir kilat ketika musim hujan dan air pasang.
“Kampung Kebun Baru terletak dekat dengan tali air utama dan laut. Bila hujan lebat, tali air akan penuh dan berlaku limpahan menyebabkan kejadian banjir kilat.
“Keadaan diburukkan lagi dengan fenomena air pasang yang berlaku menyebabkan air banjir lambat surut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambahnya, hujan dalam masa tiga jam sudah boleh menyebabkan banjir berlaku.
“Air naik tak menentu, kadang-kala hanya memenuhi laman rumah saja tapi itu pun dah cukup membimbangkan.
“Bila tengok air dah penuh di laman rumah, penduduk di sini akan berwaspada dan mula kemas barang, takut-takut banjir kilat berlaku,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kampung Kebun Baru Sungai Durian dinaiki air]
Mariani berkata, tindakan penyelesaian jangka masa panjang perlu diambil bagi membolehkan penduduk dapat hidup dalam keadaan selesa tanpa perlu dibelenggu isu banjir kilat.
Justeru dia berharap penduduk dapat dipindahkan ke kawasan lebih selamat, memandangkan lokasi rumah sedia ada yang dihuni kini tidak selamat kerana sering dinaiki air.
“Kalau gali parit baru, belum tentu dapat elak banjir sebab kawasan di sini rendah dan sering berlaku pertembungan air dari sungai serta laut.
“Penduduk di sini juga sudah maklum mengenai pintu air yang dah diganti, namun masih belum dapat mengatasi isu banjir kilat di Kampung Kebun Baru,” katanya.
Sewaktu tinjauan dilakukan di rumahnya, Mariani menunjukkan keadaan singki dapur yang rosak akibat sering ditakungi air banjir.

Malah beberapa perabot di dalam rumahnya juga rosak.
Sedia hadapi air pasang besar
Sementara itu, bagi Rohani Abu, 44, dia dan keluarga sudah bersedia awal untuk menghadapi kemungkinan banjir.
Dia pernah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir susulan air banjir memasuki rumah tiga tahun lalu.
“Sudah pasti saya bimbang memandangkan pada awal bulan lalu, banjir kilat dah berlaku. Rumah dinaiki air tapi keadaannya agak cetek ketika itu.
“Hujan lebat dalam tempoh dua jam saja menyebabkan halaman rumahnya ditakungi air dan kelihatan seperti sebuah pulau,” katanya.
Jelasnya, rumahnya hampir dinaiki air kelmarin, berikutan hujan lebat pada sebelah pagi.
“Mujur air yang bertakung itu tak melimpah masuk dalam rumah dan surut semula tak lama selepas hujan berhenti,” katanya.
Selain berdepan risiko banjir, kejadian angin kencang kerap berlaku di situ sehingga menyebabkan zink rumahnya kerap diganti baharu.
“Walaupun diancam banjir kilat dan angin kencang, saya tiada pilihan selain terus menetap di sini.
“Bila saja menghampiri akhir tahun, saya risau fikirkan kejadian air pasang besar dan hujan lebat yang boleh mengundang banjir kilat,” katanya.
Source: SH Edisi Johor
[featured-video-plus]