UPSR: Anak petani dapat 6A

in Edisi Utara by


PENDANG – Anak sulong daripada empat adik beradik yang ibu bapanya merupakan seorang petani tidak menyangka akan memperoleh keputusan 6A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.


Alisa Saffiyah Mohd Mazlim adalah murid Sekolah Kebangsaan Paya Rawa, Pendang yang merupakan murid tunggal menerima pencapaian cemerlang sedemikian.


“Saya tak sangka akan dapat keputusan 6A dan bersyukur sangat dengan apa yang ALLAH berikan,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, tengah hari tadi.

Alisa menerima anugerah murid cemerlang dari Guru Besar Sekolah Kebangsaan Paya Rawa.


Katanya, kesusahan ibu bapanya yang mengusahakan tanaman sayuran untuk membesarkan dia dan adik-adik menjadi perangsang agar dia terus belajar bersunguh-sungguh mencipta kejayaan.


Beliau yang bercita-cita menjadi seorang doktor amat berharap dapat menyambung pengajian ke sekolah menengah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang.


Ditanya tentang rahsia kejayaan, Alisa berkata dia tidak pernah meninggalkan solat dan sentiasa fokus di dalam kelas.


Ibunya, Siti Sarah Ahmad, 38, berkata dia sentiasa memberikan kata-kata semangat untuk Alisa terus belajar.


“Saya selalu kata pada dia ‘ibu dengan abah petani sahaja, kami tak pandai jadi kami nak anak-anak kami jadi pandai supaya boleh ubah kehidupan keluarga’,” katanya.


Katanya, dia selalu berpesan agar Alisa sentiasa fokus di dalam kelas dan terus bertanya kepada guru sekiranya tidak memahami sesuatu subjek.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]