23 ditahan, tiga positif dadah

in Uncategorized by


GOPENG – Seorang lelaki warga Thailand ditahan pegawai Imigresen kerana menyalahgunakan pas sempadan dalam pemeriksaan Operasi Bersepadu Perdagangan di Kilometer 290, Kawasan Rehat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini, semalam.


Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan ketika pemeriksaan ke atas penumpang bas dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke utara.


Lelaki yang bekerja di sebuah kedai tomyam di Cheras, Kuala Lumpur itu antara 20 warga asing termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditahan.


Pegawai Turus Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Mohd Ariffridzuan Ezahar berkata, operasi selama empat jam itu memeriksa 145 kenderaan perdagangan seperti bas dan lori dan 190 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.


“Kita menahan 23 individu termasuk seorang kanak-kanak bersama ibunya warga Indonesia. Wanita berkenaan ada mengemukakan dokumen namun semakan mendapati tiada sebarang cop kemasukan pada dokumen itu.


“Jabatan Imigresen memeriksa 141 warganegara asing. 20 yang ditahan merupakan warganegara Myanmar, Pakistan, Indonesia dan Bangladesh,” katanya.


Mohd Ariffridzuan berkata, kesemua yang ditahan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan 39(b) peraturan sama.


Katanya, AADK pula menahan tiga pemandu lori berusia 40 hingga 45 tahun yang didapati memandu di bawah pengaruh dadah.


“AADK telah menyaring 89 pemandu bas dan lori dan hanya tiga didapati positif syabu dan heroin berdasarkan ujian urin.


“Pemandu berkenaan ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Rawatan dan Pemulihan 1983 dan direman 14 hari untuk dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya turut mengesan pelbagai kesalahan trafik antaranya penggunaan tayar botak yang mengundang risiko keselamatan pengguna jalan raya.


“Kita turut mengeluarkan 18 saman kepada seorang pemandu yang mempunyai waran kerana kesalahan memandu laju,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]