
KAMPUNG RAJA – Walaupun aktif dalam kegiatan kokurikulum di sekolah, namun tidak menghalang buat seorang murid untuk mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017 yang diumumkan semalam.
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Raja, Aqilah Auni Alias, 12, memperoleh kesemua A dalam mata pelajaran walaupun terlibat dalam banyak aktiviti sukan di peringkat sekolah, kebangsaan malah antarabangsa menerusi program yang disertainya.
Menurutnya, dia dipilih sebagai penolong ketua murid bermula pada Tahun 5 selain mewakili sekolah di peringkat daerah dalam sukan bola tampar.
“Peringkat zon pula saya sertai bola baling, bola jaring dan lompat jauh,” katanya kepada Sinar Harian elepas menerima keputusan peperiksaan UPSR di sekolah itu, semalam.
Dia ditemani bapanya yang merupakan pesara anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, Alias Che Him dan ibunya, guru SK Kampung Raja, Jamilah Mat Ail.
Aqilah Auni berkata, jawatan lain yang disandangnya di sekolah ialah Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu, Naib Pengerusi St.John, Setiausaha Rumah Hijau, ahli Kelab Doktor dan pengakap.

“Saya perlu pandai bahagikan masa antara akademik dan kegiatan luar kerana kerana pada tahun ini juga saya terpilih sertai International English n-Camp iaitu program peringkat antarabangsa manakala di peringkat kebangsaan saya sertai Kangaroo Mathematics 2017, National Space Challenger 2017 dan Pertandingan Penulisan Esei 2016,” katanya.
Katanya, dia tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan rakan-rakannya yang lain.
“Saya minat Matematik dan Inggeris. Saya selalu kongsi apa yang saya tahu dengan murid lain. Cara itu akan buat saya mudah ingat dan faham apa yang dipelajari,” katanya yang merancang untuk memohon memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Uulu Albab Kota Putera dan bercita-cita mahu menjadi seorang guru.
Pencapaian cemerlang Aqilah Auni dalam semua bidang tersebut telah melayakkan dia menerima Anugerah Khas 2017, Tokoh Murid SK Kampung Raja, baru-baru ini.
Sementara itu tinjauan Sinar Harian mendapati semua sekolah di daerah ini menyahut saranan KPM dan Menteri Besat Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman supaya meraikan secara keseluruhan calon UPSR dan bukan secara terpilih atau berkumpulan.
Ahmad Razif baru-baru ini meminta semua pengurusan sekolah akur dengan arahan KPM demi menjaga hati murid serta ibu bapa yang anak mereka kurang mendapat keputusan cemerlang.
Sehubungan itu tinjauan mendapati tidak ada pengumuman keputusan yang diperoleh setiap calon UPSR semalam sebaliknya semua murid dipanggil mengambil slip di atas pentas dan bergambar beramai-ramai.
Source: SH Edisi
[featured-video-plus]