KLUANG – Kenyataan Ketua Penaja Bersatu Ledang, Mohd Solehan Badri yang menafikan lapan bahagian, pimpinan dan akar umbi Bersatu membuat aduan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), baru-baru ini didakwa bertujuan mengalihkan tumpuan ramai daripada kemelut yang menggoncang parti pembangkang itu.
Bekas Penyelaras Parlimen Kluang, Arjuna Putra Ali berkata, ahli yang dimaksudkan ialah Setiausaha Bahagian Ledang, Zaharuddin Mat Isa yang telah dilucutkan jawatan dan bersetuju menandatangani aduan rasmi berkaitan Bersatu Ledang.
Beliau yang merujuk kepada komunikasi WhatsApp dengan Zaharuddin, berkata adalah jelas sekali tindakan Ketua Penaja Ledang itu berunsur menekan dan seolah-olah mengugut jawatan kuasa pimpinan serta akar umbi yang hanya ingin bersuara demi kebenaran serta hak mereka.
Katanya, Zaharuddin turut mengatakan bahawa kenyataan penafian itu adalah daripada Mohd Solehan dan bukan daripada beliau.
“Bagaimana beliau (Mohd Solehan) ingin menafikan, sedangkan Zaharuddin sendiri yang menelefon kami untuk ‘pick up’ (mengambil) beliau di Tol Lebuh raya Tangkak dan terus bergegas Putrajaya.
“Di sini jelas, tindakan Mohd Solehan hanya ingin mengalihkan tumpuan terhadap kemelut yang melanda Bersatu dan pakatan pembangkang.
“Sepatutnya pimpinan Bahagian dan Negeri PPBM menyelesaikan permasalahan berbangkit dengan mendesak pimpinan peringkat atasan, ‘menyegerakan perintah atau notis bagi melaksanakan AGM Bersatu’,” katanya.
Arjuna Putra berkata Zaharuddin yang sebelum ini, menjawat jawatan Setiausaha Bahagian Ledang, bersetuju dan menandatangani aduan rasmi yang dibuat kepada ROS, termasuk isu berkaitan Ketua Penaja Proksi.
Katanya, beliau turut difahamkan, yang Zaharuddin telah dilucutkan jawatan dulu, dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Bersatu Ledang, baru-baru ini.
“Difahamkan, sebanyak 332 aduan dilaporkan dihantar kepada ROS menjadikan jumlah kesemua aduan adalah 358 aduan membabitkan AJK pimpinan dan ahli akar umbi di 26 bahagian di Johor,” katanya.
Berhubung isu perlembagaan rasmi Bersatu, Arjuna Putra berkata setiap bahagian perlu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dalam waktu 60 hari dan mesyuarat cawangan dalam masa 14 hari, sebelum Persidangan Agung Pusat dapat dijalankan.
“Berhubung tarikh awal mesyuarat agung Bersatu, iaitu mengikut bahagian, adalah amat melucukan dan menunjukkan kelemahan kepimpinan pengurusan atasan parti.
“Ini bermaksud, jika perlu diikut tarikh yang mana setiap Bahagian Bersatu perlu mesyuarat dahulu sebelum AGM Pusat Bersatu. Ketika ini, ‘dikatakan’ ada lebih 159 Bahagian Bersatu di seluruh negara, maka bila agak-agaknya tarikh AGM Bersatu boleh dilaksanakan? Apakah sehingga 2050?,” katanya.
Selasa lalu, Bersatu Ledang menafikan ada seorang ahli mereka yang didakwa mewakili satu daripada lapan bahagian Bersatu di Johor, tampil mengemukakan laporan kepada ROS.
Mohd Solehan menafikan kenyataan daripada Ketua Penerangan Bersatu Kluang, Arjuna Putera dalam laporan media sebelum ini, yang memetik perwakilan daripada Bersatu Ledang menyertai gerakan terbabit sebagai sama sekali tidak benar.
Katanya, pembabitan Zaharuddin bersama gerakan itu adalah kerana dikelirukan pihak berkenaan yang tidak memaklumkan tujuan sebenar mereka ke pejabat ROS.
Source: SH Edisi
[featured-video-plus]