Duterte tamatkan rundingan dengan pemberontak

in Global by


MANILA – FILIPINA. Presiden Filipina, Rodrigo Duterte telah menandatangani satu pengisytiharan untuk menamatkan rundingan secara rasmi dengan puak pemberontak komunis di negara itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan kerajaan pada malam Khamis.


Jurucakap presiden, Harry Roque, dalam satu kenyataan menyebut Duterte telah mengarahkan penasihat keamanan pejabat presiden untuk membatalkan rundingan serta pertemuan dengan Parti Komunis Filipina, Tentera Rakyat Baharu dan Barisan Demokratik Nasional Filipina (CPP-NPA-NDFP).


“Meskipun kami bersetuju untuk meneruskan rundingan damai dengan kumpulan yang telah disebutkan di atas serta berusaha sedaya-upaya mempercepat pemeteraian dan pelaksanaan perjanjian damai muktamad, NDFP-CPP-NPA telah didapati terlibat dalam aktiviti keganasan serta permusuhan,” kata Roque.


“Kami berpendapat agak malang anggota kumpulan pemberontak terbabit gagal membuktikan keikhlasan dan komitmen mereka bagi menjayakan rundingan damai yang ikhlas serta bermakna,” katanya.


Pentadbiran Duterte telah menghidupkan semula rundingan damai dengan pemberontak komunis pada Ogos tahun lepas.


Bagaimanapun, rundingan itu sejak awal lagi telah gagal berikutan beberapa serangan yang dilancarkan pemberontak terhadap tentera dan orang awam.  


Sejak 1986, kerajaan telah berusaha untuk mencapai persetujuan damai dengan pemberontak komunis namun gagal.  


Pemberontakan komunis bermula dalam tahun 1969 dan memuncak pada 1987 apabila ia dianggotai 26,000 gerila bersenjata.


Bagaimanapun, pergerakan itu semakin lemah berikutan perbezaan strategi dan taktik selain penahanan kebanyakan pemimpin tertingginya pada akhir 1980-an.


Ketika ini, pihak tentera menganggarkan jumlah pemberontak komunis adalah kira-kira 4,000 orang. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]